“Kalau Rasa Tak Perlu Kongsi, Saya Takkan Buat” – Kontroversi Lalu Buat Fathia Latiff Lebih Berhati-Hati

Setelah sekian lama hilang dalam industri, pelakon Fathia Latiff kini tampil dengan sisi yang lebih matang selepas membuat kemunculan semula dalam bidang lakonan.

Bukan sahaja dalam bidang lakonan, kegiatan pelakon itu menerusi platform media sosialnya juga kelihatan semakin perlahan berbanding suatu ketika dahulu.

Menurut Fathia, kini dia lebih memilih kandungan yang ingin dikongsikan bersama pengikutnya dan menjadikan kontroversi lalu sebagai iktibar dalam kehidupannya.

“Kalau rasa tak perlu kongsi, jadi saya takkan buat. Lagipun saya tak nak ‘trigger’ apa-apa dan kurangkan kongsi pasal peribadi. Pengalaman lama ajar saya berhati-hati,” jawabnya ringkas.

Menyedari perkara itu, Fathia juga mengakui dirinya kini lebih kerap berkongsi momen bersama keluarganya berbanding perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Memetik laporan Kosmo, sebagai kakak, Fathia ingin menjadi contoh yang baik kepada adik-beradiknya dan menjaga nama baik ramai pihak.

“Masa saya banyak dibahagikan dengan keluarga. Saya tak nak nanti pada masa depan, ada timbul sesalan mengapa tidak guna peluang yang ada untuk bersama mereka.

“Pada usia begini, seharusnya kita dah boleh berfikir perkara yang baik-baik sahaja. Lainlah kalau saya tiada sesiapa, bolehlah main hentam saja kan,” katanya.

Sumber: Kosmo

Fatin Nurain