“Kalau Semuanya Elok, Benda Tak Nampak Real” – Giliran Azhar Sulaiman Ulas Isu Bakat & Rupa

Pelakon Azhar Sulaiman tampil memberikan buah pendapatnya berkenaan isu bakat dan rupa yang hangat diperkatakan dalam industri, kebelakangan ini.

Menurut Azhar, dia memahami apa yang cuba disampaikan oleh penerbit A.Aida yang menjadi asbab perdebatan itu muncul.

“Actually, Aida bukanlah begitu. Apa yang cuba disampaikan adalah dalam menghasilkan sesuatu produk tu kita perlu memilih bahan yang betul. Ada sesetengah bahan berdasarkan skrip, ia memerlukan pelakon wanita dan lelaki yang elok paras rupanya.

“Jadi, cerita tu berkemungkinan populated cast dia semua yang elok-elok. Ia bergantung pada naskhah tersebut. Sebab sekarang ni bila orang tanya saya ciri-ciri untuk menjadi seorang pelakon nombor satu kat Malaysia, saya katakan ia adalah berdasarkan rezeki.

“Jika perkara itu terjadi yang dia terpilih untuk membawa watak tersebut, dia boleh jadi artis popular pada tahun itu. Bukan sebab you handsome or cara penampilan you.

“Ia sebab watak yang dibawakan itu walaupun ada yang perlukan rupa, tapi bukan setiap masa. Kalau semuanya elok, benda tak nampak real. Nothing perfect,” katanya.

Selain itu, Azhar juga menyatakan keseimbangan dalam sesuatu naskhah itu sangat penting, biarpun pelakon itu tidak mempunyai asas dalam lakonan.

“Pada saya, keseimbangan perlu di antara keperluan naskhah tu untuk pelakon mana yang kita perlu kedepankan. Jadi, untuk menjaga hati semua orang, jika saya seorang pengarah bagi saya semua aspek penting.

“Untuk produk saya, jika awak ada pakej, awak memang ada pakej tu. Tak semestinya awak kena ada rupa paras atau cara lakonan,”jelasnya.

Perkongsian tersebut telah didedahkan oleh Azhar ketika ditemui pada majlis sidang media Viu Upfront 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Azhar juga sempat mengimbau perbualannya bersama pelakon Datuk Rahim Razali berkenaan cara lakonannya suatu ketika dahulu.

“Saya pernah tanya Rahim Razali, kalau kita buat semula filem dia yang dulu, saya rasa saya boleh buat yang lebih baik.

“Tapi dia kata saya salah kerana dia ambil saya berlakon sebab ketika itu saya tidak tahu apa-apa tentang kehidupan dan dia memerlukan seseorang yang seperti saya ketika itu. Jadi, keperluan cerita itu, rupa, watak, bakat, semua tu

,” jelasnya.

Fatin Nurain