Kenang Arwah Suami, BCL Syukur Dicintai Keluarga Mentua – “Kehilangan Ashraf Titik Terendah Dalam Hidup Saya…”

Penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari mengakui kehilangan suami tercintanya, Allahyarham Ashraf Sinclair adalah titik terendah dalam hidupnya.

Bercerita mengenai bait-bait indah momen pertama kali bertemu Ashraf di Kuala Lumpur, Bunga atau lebih mesra disapa BCL itu menyifatkan pertemuan tersebut membuatkan dirinya menjadi lebih bersemangat.

“Dahulu, saya suka susah tidur dan sering anxiety… Saat bertemu dengan Ashraf membuatkan saya rasa jauh lebih tenang. Saya menjadi seseorang yang lebih semangat untuk grow dan perbaiki diri terus-menerus.

“Saya merasakan kehilangan the love of my life adalah titik terendah dalam hidup saya. Bukan perkara yang mudah untuk saya mencuba bercerita disini. Tapi saya hanya ingin membagi memori-memori dan kenangan indah,” katanya.

Dalam pada itu, BCL turut sempat meluahkan rasa syukur atas kehadiran ahli keluarga Ashraf yang memberi sokongan di Konsert BCL Blossom Intimate Concert yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Jumaat lalu.

“Saya bersyukur ada umi, daddy, Aishah and my family. Ada aunty-aunty, Ashraf’s family is here. Thank you so much.

“Buat saya bertemu dengan Ashraf itu bukan hanya bersama dengan seseorang yang amat sangat dekat dengan sempurna. Tapi bisa bertemu dengan keluarga yang begitu mencintai saya sampai sekarang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: “Walau Berada Di Dunia Yang Berbeza, Kamu Tetap Dihati Saya” – Sambut Ulang Tahun Perkahwinan Ke-14, BCL Titip Ucapan Penuh Makna

Sekadar info, Allahyarham Ashraf Sinclair menghembuskan nafas terakhirnya pada 18 Februari 2020 akibat serangan jantung.

Semasa konsert tersebut, BCL bercerita mengenai kisah perjalanan hidupnya sebelum dan selepas sehingga menyuntik hati lebih 2,500 peminat yang hadir menerusi lagu-lagu hits yang tersemat memori indah.

Konsert yang berlangsung selama dua jam itu dimeriahkan dengan persembahan istimewa BCL bersama anak kesayangannya, Noah Sinclair di akhir persembahan menerusi lagu Dance Tonight.

Selain itu, BCL turut mendedangkan lagu Tentang Kamu, Wanita Terbahagia, 12 Tahun Terindah, Cinta Sejati, Menghapus Jejakmu, Aku Dan Dirimu dan single terbaharu berjudul Badai Telah Berlalu.

Aqilah Paharuzi