Kenderaan Pengarah & Pelakon Filem Sensasi ‘Mentega Terbang’ Disimbah Cat, Diugut Bunuh

Awal bulan ini tular di media sosial filem Mentega Terbang yang didakwa mempromosikan pluralisme kerana terdapat unsur-unsur bertentangan dengan agama Islam sehingga mencetuskan perdebatan hebat semua pihak.

Terkini, pihak produksi filem tersebut ternyata menjadi sasaran sehingga hari ini apabila mereka menerima ugutan daripada sesetengah pihak.

Menerusi ciapan di laman Twitter, seorang individu memuat naik sebuah hantaran yang memaparkan foto beberapa buah kenderaan milik pengarah dan pelakon disimbah dengan asid dan cat merah.

Lebih mengejutkan, juga terdapat beberapa keping nota ugutan bunuh disertakan.

Dalam pada itu perkongsian tersebut turut mendapat respon Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang mengecam sekerasnya tindakan tersebut.

“Saya kecam sekeras-kerasnya ugutan-ugutan ini serta sebarang tindakan di luar batas undang-undang.

“Rakyat Malaysia mesti patuh undang-undang, jangan ambil tindakan yang boleh merosakkan harta benda, mengancam nyawa.

‘Ikut undang-undang, jangan ambil tindakan sendiri,” tegas Fahmi dalam satu ciapan.

Terdahulu, filem Mentega Terbang mendapat kecaman dan tentangan hebat daripada pelbagai pihak sehingga pihak produksi dipanggil pihak polis bagi membantu siasatan.

Malah pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut memaklumkan bahawa platform penstriman Viu telah menghentikan tayangan filem kontroversi, Mentega Terbang pada 27 Februari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Filem Mentega Terbang: JAKIM Dapati Terdapat Tentangan Yang Jelas Dengan Akidah & Cara Hidup Islam, Pihak Terlibat Bakal Dipanggil

ARTIKEL BERKAITAN: Tayangan Filem Sensasi Mentega Terbang Akhirnya Dihentikan!

Khairil Khusyairi