“Kita Tak Boleh Tutup Mulut Orang…”- Gara-Gara Lagu Casablanca, Naufal Azrin Dituduh Murtad

Lagu Casablanca yang dinyanyikan oleh Naufal Azrin dan Nuha Bahrin semakin mendapat tempat di hati peminat.

Namun siapa sangka, sebalik kejayaan lagu ini, penyanyinya juga terpalit dengan beberapa kontroversi.

Menurut Naufal, 23, dia turut berdepan dengan kecaman netizen yang melabel dirinya murtad gara-gara beralih genre muzik memandangkan sebelum ini, dirinya merupakan ahli kumpulan nasyid, Zayne.

ARTIKEL BERKAITAN:Rupanya Pemuda Kacak Ini Anggota Kumpulan Nasyid… Jom Kenali Naufal Azrin, Penyanyi Lagu Casablanca!

ARTIKEL BERKAITAN:Cari Rezeki Untuk Keluarga Jadi Keutamaan, Naufal Azrin Teringin Nak Sambung Belajar

Mengaku tertekan dengan kecaman sebegitu, Naufal bagaimanapun sedar bahawa tidak mudah untuk menutup mulut orang lain dan sebagai seorang penyanyi, dia perlu bersikap fleksibel.

“Saya baca komen-komen netizen, ada yang katakan sebagai murtad kerana sebelum ini saya menyanyi lagu nasyid dan sekarang keluar dengan lagu Casablanca. 

“Memang tertekan juga apabila mendapat kecaman begitu, tapi apa boleh buat? Kita tidak boleh menutup mulut orang lain, biarlah mereka bercakap, Dan mujurlah komen tersebut hanya di media sosial jadi tidaklah beri kesan sangat kepada saya.

“Lagipun sebagai penyanyi saya perlu fleksibel. Kalau sebegini boleh serlahkan bakat saya, apa salahnya untuk teruskan sahaja,” katanya.

 

Sementara itu, Naufal juga tidak menolak isu berhubung penggunaan perkataan yang digunakan dalam lirik lagu Casablanca yang tular baru-baru ini sedikit sebanyak mengundang kepada populariti lagu tersebut.

“Lirik lagu adalah luahan hati penulis. Jadi saya rasa degup atau denyut sama sahaja. Dalam lirik lagu juga dibenarkan untuk menggunakan apa sahaja perkataan yang kena dengan hati penulis.

“Malah, setiap orang mempunyai pendapat masing-masing. Saya terima semua yang diperkatakan untuk lebih maju ke depan,” jelasnya.

Naufal juga bersyukur kerana lagu ini berjaya meraih jumlah tontonan yang tinggi di YouTube iaitu sebanyak 11 juta tontonan sejak ia dimuat naik pada 4 Jun lalu.

“Kami tidak meletakkan harapan untuk lagu ini menjadi viral, tapi syukur dengan sambutan yang sanagt baik sehingga berjaya mencecah jutaan tontonan,” katanya.

 

 

Sumber: Mstar

Salma Syahbuddin