Kurang Aktif Berlakon, Mathni Fokus Memasak?

Dikenali dalam drama Nur yang membawakan watak Dr Mukhriz, pelakon Mathni mengaku mengambil insiatif baharu selain menunggu tawaran berlakon.

Menurut jejaka berusia 30 tahun ini, dia kini menjalankan perniagaan makanan secara kecilan di Jalan Damai, Kuala Lumpur.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu stabil pada waktu ini, saya mengambil langkah untuk berniaga makanan selain menunggu tawaran berlakon atau bidang peragaan.

“Jual makanan hanya mengisi masa lapang. Fokus dan minat saya lebih kepada lakonan,” katanya kepada Xtra.

Tambah Mathni, dia hanya membantu saudara menjalankan perniagaan makanan bergoreng seperti ayam dan kentang.

“Apa salahnya saya guna pengetahuan yang ada untuk menjana wang saku. Lagipun, saya memang minat memasak.

“Kerana minat dan ada kemahiran dalam masakan, saya membantu saudara saya mengusahakan perniagaan tersebut. Tetapi bukanlah sepenuh masa, saya masih aktif di dalam bidang seni,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mathni kini sibuk di set penggambaran drama ‘Black’ untuk salah sebuah produksi tempatan.

Dalam sama sama, dia bakal memulakan kelas teater Tahap 2 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bermula Oktober ini.

“Setiap kelas yang saya pergi, saya dapat sesuatu yang saya sudah lama cari dalam diri dan tidak pernah dapat sebelum ini.

“Kini persediaan itu sudah ada sedikit, setiap guru memberi ilmu berguna dan bergantung kepada saya untuk mengamalkannya,” katanya.

Semoga terus sukses dalam bidang lakonan dan perniagaan!

SGMS Faida