Lagu Cinta Simbolik MonoloQue Kembali Ke Pangkal Jalan

Kumpulan MonoloQue kembali memberi fokus kepada irama dan lagu dengan buah tangan baharu berjudul Lagu Cinta.

Lagu Cinta adalah gambaran awal kepada peminat bahawa berkemungkinan album ketiga mereka akan dikeluarkan.

Selain itu, Lagu Cinta berkonsep ringkas dan mudah yang menceritakan perlunya cinta dalam kehidupan.

Ini kerana, cinta adalah penguat dan penyeri ketika manusia berada dalam keadaan susah ataupun senang.

Menurut LoQue gubahan lagu sendiri memberitahu kepada pendengar bahawa hidup perlukan keseimbangan dan dalam kepayahan pasti ada kesenangan.

“Jika diperhalusi chorus dan verse dalam Lagu Cinta dimainkan dalam irama minor bagi menunjukkan kesedihan, kegelapan dan kesusahan.

“Tetapi waktu bahagian bridge, lagu jadi bertukar kepada major, sesuatu yang bertentangan,” katanya.

Sementara itu, Lagu Cinta bermaksud ‘simbolik’ dan ia sedikit sebanyak berkaitan kematian adik LoQue akibat kemalangan jalan raya.

LoQue yakin bahawa setiap bait kata dan bunyi daripada lagu ini dapat didengari oleh arwah adiknya yang sudah tiada.

“Saya harap lagu ini dapat merentas dimensi,” kata LoQue.

Lagu Cinta boleh mula didengari di semua platform media digital bermula pada 16 Disember 2022

Halimey Zamal