Dekorasi Rumah Lebih Penting Berbanding Baju

Ini merupakan tahun keenam pasangan Awal Ashaari dan Scha Alyahya menyambut lebaran sebagai suami isteri. Sambutan lebih meriah dengan kehadiran anak tersayang, Lara Alana yang lahir dua tahun selepas perkahwinan mereka.

Lebih gembira, pasangan ini baru sahaja dilantik menjadi duta automobil Weststar Maxus G10.

Sebagai seorang isteri, Scha bertanggungjawab menyelesaikan hal berkaitan dekorasi bahagian dalam rumah.

“ Mungkin Awal rasa saya lebih pandai dalam hal ini.

“ Setiap kali menjelang raya kami memang sakan dalam hal dekorasi rumah. Orang lain akan fikir mengenai baju, tas tangan dan barang kemas. Kami pula lebih pentingkan langsir dan karpet,” kata Scha.

Untuk baju raya pula, tahun ini persalinan mereka sekali lagi disediakan pihak Jakel yang turut bekerjasama dalam menghasilkan koleksi lebaran 2018.

Tambah Scha, sambutan kali ini lebih istimewa kerana Lara sudah pandai bergaya.

“ Lara dah pandai bersiap. Dia juga tidak mahu keluar rumah kalau tak bergaya. Kalau perasan di Instagram Story kami, dia suka sangat bersolek, bergaya depan cermin dan memakai kasut tinggi.

“Kami okey dan layankan saja tetapi tidak menjadikan ia satu kebiasaan. Kalau tak kena gaya, tidak boleh juga,” katanya.

Keluarga ini juga bakal meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur.

SGMS Faida