‘Lepas Kahwin, Saya Asyik Tengok Jam’- Megat Mentor

Penyanyi Megat mengakui merasai perbezaan selepas bergelar suami sejak Sabtu lalu.

Kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Tetap Kamu ini, dia kini sedang belajar membiasakan diri dengan status baharunya itu.

” Dulu kalau nak lepak dengan kawan-kawan, tak kisah nak balik pukul berapa. Tapi kalau sekarang, mesti kena tengok jam. Dah tak boleh balik lewat. Isteri dekat rumah tak boleh tinggal lama,” katanya sambil ketawa.

Kata bekas peserta Mentor 7 ini juga, Syawal tahun ini memberi pengalaman baharu kepadanya.

” Saya pulang beraya di Tawau. Mujur saya dan isteri sekampung dan tiada masalah untuk kami pulang beraya selepas ini.

” Jarak rumah keluarga kami hanya 10 minit sahaja. Ini merupakan tahun pertama saya menyambut Syawal dengan status suami. Insha Allah saya akan jalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Doakan kami bahagia sehingga ke Syurga,” katanya.

Mengimbau detik perkenalan, Megat berkenalan dengan isterinya, Nural Bania Bt Bahari pada tahun 2016 di sebuah restoran di Tawau.

Sementara itu, Megat dan isteri dijangka pulang semula ke Kuala Lumpur pada Jumaat ini seterusnya bakal sibuk menghasilkan lagu baharu. 

SGMS Faida