“Liang Lahad Nampak Sempit” – Muhasabah Diri Dengan Ingat Mati, Tonton Video Gali Kubur Buat Neelofa Fikir Bekalan Akhirat

Selebriti dan usahawan popular, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 33, berkongsi bahawa dia bermuhasabah diri dengan sentiasa mengingati kematian.

Memetik laporan Gempak, Neelofa menceritakan tentang momen melihat video individu menggali kubur dan dia membayangkan yang dirinya berada di dalam liang lahad tersebut.

“Momen ingat mati sentiasa sahaja ada. Macam baru-baru ini, saya ada tengok satu video di Instagram, yang memperlihatkan satu individu ini sedang menggali kubur.

“Ketika dia menggali kubur, hujan sedang turun dan sewaktu close-up ke bahagian liang lahad, nampak sempit. Bila lihat dengan tanah jatuh… saya cakap dengan diri sendiri yang mungkin saya yang ada dalam liang lahad itu,” katanya.

Bukan itu sahaja, Neelofa mengakui bahawa dia sentiasa berfikir tentang amalan apakah yang akan dibawa dan diterima apabila tiba masanya dijemput menghadap ilahi.

“Katakanlah kalau itu memang takdirnya, apa yang saya nak bawa ke sana? Apa perkara-perkara atau ibadah yang Allah SWT akan angkat untuk selamatkan saya ketika berada di dalam tu?

“Momen-momen macam tu memang akan datang sekali sekala. Kita kena paksa diri untuk muhasabah diri, fikir cukup tak amalan yang akan dibawa nanti,” ujarnya kepada Gempak.

Terdahulu, Neelofa memaklumkan bahawa sering dihujani dengan soalan tentang istiqamah dan dia berkongsi cara yang dilakukannya untuk istiqamah adalah dengan cara paksaan selain mendapat sokongan suami.

Sumber: Gempak

Atiqah Johari