“Mantap Sekali! Confirm AJL Lagi!” – Muncul Dengan ‘Kembali Terang’, Peminat Goosebumps Dengar Lagu Baharu Marsha Milan

Selepas sukses dengan single Cinta, penyanyi Marsha Milan, kembali mempertaruhkan lagu terbaharunya bertajuk Kembali Terang.

Pemenang dua kategori di Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) iaitu Naib Juara dan Anugerah Persembahan ini tampil dengan single ciptaan Senna dan Ajin manakala liriknya ditulis sepenuhnya oleh Senna.

Kembali Terang diciptakan khas untuk Marsha demi menonjolkan lagu, bakat dan suaranya serta lirik yang ditulis juga diinspirasikan daripada pengalaman Marsha sendiri.

“Pertamanya saya sangat bersyukur kerana masih lagi diberikan kepercayaan dan peluang oleh Alternate Records & Talents untuk melahirkan sebuah lagi lagu di bawah label yang sama.

“Kejayaan lagu Cinta yang lalu membuka lebih ruang kepada saya untuk berkarya dan menunjukkan kelebihan yang ada pada saya sekaligus membuka pintu rezeki saya untuk lebih maju.

“Lagu terbaharu yang bertajuk Kembali Terang ini diharapkan dapat diterima oleh semua orang lebih-lebih lagi, lagu ini benar-benar dekat dengan saya. Semoga semua terus menyokong kerjaya saya agar saya dapat melahirkan lebih banyak lagu untuk semua,” katanya.

Menjengah ke akaun Instagram Marsha, peminat memberikan respons positif mengenai lagu ini di ruangan komen dan menjangkakan lagu ini bakal memasuki AJL untuk edisi yang seterusnya.

Lagu Kembali Terang ini boleh didengari di semua pelantar digital bermula 22 Julai dan muzik video bakal dipertontonkan di saluran Youtube Alternate Records & Talents tidak lama lagi.

Padin