Masih Menjalani Rawatan, Remy Ishak Terus Istiqomah

Percaya dia perlu istiqomah dan muhasabah diri, pelakon Remy Ishak masih menjalani rawatan untuk merawat diri dari gangguan ilmu hitam seperti yang dikongsinya melalui akaun instagramnya pertengahan bulan lalu. 

Baca: “Mula-Mula Saya Sangkakan Depresi..Tetapi Kini Mungkin ‘Benda’ Lain.. – Remy Ishak Beri Bayangan Disihir?

“Saya kena kuat melawan ujian ini.  Apa juga yang terjadi, saya perlu lihat kembali dalam diri kerana mungkin saya juga ada melakukan kesilapan.

“Tidak sewajarnya saya menuding jari kepada orang lain apabila berdepan dugaan dalam hidup,” kata Remy kepada BH Online. 

Pelakon Pujaan Hati Kanda ini menyangkakan bahawa dia mengalami depresi dan kemurungan melampau namun mendapati dia sebenarnya terkena ilmu hitam, setelah dinasihatkan berjumpa dengan pengamal perawatan Islam oleh kaum keluarga dan rakan terdekat. 

“Saya masih dalam rawatan dan apabila membabitkan perkara seperti ini, mental serta fizikal kita perlu kuat.  Mungkin saya nampak seperti tiada apa-apa, namun ia sebenarnya mengambil masa untuk pulih.

“Sebelum ini, saya buntu apa sebenarnya berlaku dalam diri.  Sangkakan saya mengalami depresi kerana apabila bersendirian, terutama selepas Subuh dan Asar, saya tiba-tiba menjadi lemah.

“Saya mencuba pelbagai kaedah rawatan moden dan alternatif, namun selepas bertemu dengan seorang ustaz, baru saya sedar terkena ilmu hitam,” kata Remy lagi. 

Pelakon berusia 37 tahun ini juga mengatakan dia harus sentiasa yakin bahawa semuanya kehendak Allah dan tiada siapa yang mampu melawan kuasa Allah.  Dia juga percaya pasti ada jalan penyelesaian bagi setiap masalah yang dihadapi dan dia harus terus melawan segala gangguan yang dialami. 

 

 

 

Del14