MENARIK! ELEMEN FESYEN DALAM TROFI AJL32?

Trofi Anugerah Juara Lagu 32 telah diberi kelainan dengan menyuntikkan elemen fesyen dalam trofi pada kali ini. Ianya adalah hasil kerjasama pereka fesyen terkenal Rizman Ruzaini pada sidang media anugerah tersebut yang telah berlangsung di JW Marriot pada Rabu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata, suntikan elemen fesyen ini bersesuaian dengan tema yang dipilih. 

“Memasuki edisi ke-32, Anugerah Juara Lagu masih utuh mendominasi sebagai pentas terbaik mengangkat usaha para pemuzik yang merangkumi komposer, penulis lirik, dan juga penyanyi melalui penjurian profesional. Kami turut berbangga kerana tidak hanya mengiktiraf lagu terbaik, AJL dilihat menjadi pentas idaman para penyanyi untuk mempamerkan kualiti vokal nyanyian dan persembahan mereka. Selain itu, buat pertama kalinya demi menampilkan kelainan bersesuain dengan tema yang dipilih, trofi AJL 32 disuntik dengan elemen fesyen hasil kerjasama pereka fesyen tersohor, Rizman Ruzaini.” Jelasnya.

Anugerah Juara Lagu 32 bakal berlangsung pada 11 Februari 2018 bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil. 

Dengan tema Fesyen Dan Muzik. Evolusi Ekspresi dan Identiti bakal menampilkan sebanyak 12 lagu terbaik sepanjang tahun 2017. 

12 finalis Anugerah Juara Lagu 32

Tambahnya lagi, fesyen merupakan antara salah satu perkara yang ditunggu-tunggu oleh penonton dan peminat selain lagu yang bakal dipersembahkan. 

“Muzik dan fesyen saling melengkapi, tema yang dipilih pada tahun ini amat bertepatan. Mengambil kira transisi fesyen yang sentiasa berubah-ubahdari tahun 1986 hingga kini, pasti ramai masih ingat fesyen pilihan Ramlah Ram yang berani untuk berevolusi pada ketika itu dengan memakai kunci dan hati.” Katanya.

Manakala, pada sidang media kali ini pengacara Anugerah Juara Lagu ke 32 bakal dihoskan oleh Aliff Satar dan Sherry Al-Hadad.

Sherry Al-Hadad dan Aliff Satar adalah pengacara AJL32

Antara lagu yang bakal menghangatkan pentas AJL32 pada kali ini ialah, Akhirnya Cinta (Salma), Aku Cinta (Syamel dan Erni Zakri), Aku Yang Sebenar (Hazama and The Penglipur lara), Amboi (Altimet), Bayang (Khai Bahar), Jampi (Hael Husaini), Lebih Sempurna (Syamel), Menahan Rindu (Wany Hasrita), Sejati (Azmi Caliph Buskers), Separuh Mati Ku Bercinta (Dayang Nurfaizah), Tergantung Sepi (Haqiem Rusli) dan Warkah Untukmu (Ara Johari).

Salma Syahbuddin