‘Menyanyi Boleh Tapi Dengan Syarat’, Ali XPDC Ingat Pesan Ustaz

Lima tahun lalu, penyanyi XPDC, Ali nekad berhijrah untuk mendalami ilmu agama dengan lebih mendalam.

Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail memberitahu dia pernah terfikir untuk meninggalkan dunia nyanyian tetapi hasrat itu dihalang oleh seorang ustaz.

“ Ustaz itu berpesan kepada saya agar meneruskan kerjaya menyanyi namun dengan lagu-lagu dakwah yang mengajak orang lain melakukan kebaikan. Takkan nak menyanyi lagu cinta sahaja kan?

“ Katanya, suara adalah anugerah Allah SWT. Konsep lagu masih sama cuma liriknya sudah berbeza. Lirik kepada penceritaan yang tidak membuatkan kita leka dengan hal dunia.

“ Pesan ustaz, kita sebagai umat Islam digalakkan menjadi Da’I iaitu mengajak orang lain melakukan kebaikan. Itu yang sebaiknya,” katanya kepada xtra.com.

Sebelum ini, Ali pernah tampil dengan album Suara Da’ie  yang menampilkan penyanyi yang sudah berhijrah antaranya Zul Handy Black, Ijam Medicine, Mel Wings, Zul Yahya, Iwan dan ramai lagi.

“ Kami cuba ‘sentuh’ hati pendengar menerusi lagu berbentuk dakwah contohnya mengajak umat Islam untuk solat lima waktu. Semua itu saham akhirat kita kan?

“ Doakan saya terus istiqamah dalam perjalanan ini. Yang penting, jangan sesekali megadili orang lain. Insya Allah,” akhirinya.   

XPDC baru sahaja muncul dengan album DOA (Dakwah Only Allah) untuk peminat di luar sana.

XPDC turut dianggotai oleh Ali selaku vokalis, Izo (gitaris), Eddie (bass), Lola (drum) dan Arif (gitar).

 

SGMS Faida