Categories: Hiburan

Mia Ahmad Umum Hamil Anak Kedua

Pelakon, Mia Ahmad membuat pengumuman menerusi sebuah entri baru-baru ini di akaun Instagram miliknya yang dia kini sedang hamil anak kedua dengan suaminya, penjaga gol pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Izham Tarmizi Roslan.

 

Oleh sebab itu, Mia atau nama sebenarnya Samihah Ahmad Baderi (31) mengambil keputusan untuk menolak beberapa tawaran lakonan kerana risau keadaannya nanti akan menyusahkan pihak produksi.

“Saya disahkan mengandung sekali lagi, manakala Issa bakal menjadi abang pada usia baru mencecah 14 bulan.  Saya rasakan kehamilan kali ini seperti mimpi, namun bersyukur diberikan rezeki ini.  Doakan saya dan bayi dalam kandungan sihat.

“Pada mulanya saya berhasrat meneruskan aktiviti lakonan selagi kandungan masih belum kelihatan.  Namun, selepas difikirkan kembali, saya membuat keputusan menolak sahaja tawaran itu,” katanya kepada BH Online. 

Tambah pelakon yang popular melalui drama Hati Perempuan itu lagi, anak juga rezeki dan InshaAllah dia akan meneruskan minatnya dalam bidang lakonan dan mempertimbangkan tawaran untuk ke lokasi penggambaran, selepas selamat melahirkan anak keduanya nanti. 

Untuk rekod Mia dan suami mendirikan rumah tangga pada 13 Januari 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Sayf Issa (14 bulan) yang lahir pada 28 September 2018. 

Baru-baru ini, keluarga kecil Mia telah bercuti ke Bali untuk percutian ‘baby moon’ mereka. 

 

Kredit Foto: Instagram @mia.ahmad

 

Del14