Misha Omar Tak Mahu Kongsi ‘Journey’ Rawatan IVF, Mahu Jaga Sensitiviti Pasangan Tiada Zuriat

Penyanyi popular, Misha Omar memaklumkan dia enggan berkongsi perjalanan rawatan In Vitro Fertilisation (IVF) yang dijalaninya kepada umum.

Menurutnya, tindakannya itu adalah untuk menjaga sensitiviti pasangan yang disahkan tiada harapan untuk memiliki zuriat.

Meskipun sebelum ini perkongsiannya itu mendapat respons yang positif dalam kalangan peminat, namun ada juga segelintir dalam kalangan mereka yang terganggu dan memberikan reaksi negatif.

“Saya belajar menghormati perasaan dan rintihan mereka yang disahkan sudah tiada harapan untuk memiliki anak. Jadi biarlah proses yang saya lalui dirahsiakan.

“Saya terima pelbagai respons dari peminat yang masih berikhtihar untuk mendapatkan anak. Saya sebenarnya berharap perkongsian itu membawa respons positif, tetapi banyak pula reaksi negatif yang saya terima.

“Ada yang terluka, kerana disahkan tiada harapan untuk memiliki zuriat. Jadi saya ambil pendekatan untuk tidak lagi berkongsi apa-apa tentang perkara itu bagi menjaga sensitiviti umum,” katanya.

Cuba pelbagai jenis rawatan

Memetik laporan Utusan, pelantun lagu Bunga- Bunga Cinta ini juga berkongsi, selain rawatan IVF dia dan suami juga turut mencuba pelbagai rawatan lain sebagai usaha mendapatkan zuriat.

Bagaimanapun, Misha enggan berkongsi dengan lebih lanjut mengenai perkara itu.

” Saya tidaklah bergantung kepada satu jalan sahaja. Rezeki mendapatkan anak ini luas. Saya pun ada anak angkat. Jadi apa sahaja usaha yang saya buat, biarlah saya dan keluarga sahaja tahu.

“Harapan untuk saya memiliki zuriat masih ada dan saya masih berusaha, berlapang dada, mencari dan mendoakan.

“Kalau satu hari ditakdirkan saya hamil, saya akan umumkan, tak boleh sorok,” jelasnya.

 

Sumber: Utusan

Salma Syahbuddin