MK K-Clique Sah Bergelar Suami Siti Hajaar

Anggota kumpulan K-Clique, MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan, 27, sah bergelar suami kepada wanita pilihannya, Siti Hajaar Syeikh Nordin, 26, dengan sekali lafaz, pada jam 9.35 pagi tadi.

Majlis yang diadakan di Masjid Jami’il Huda, Kampung Melayu Ampang itu menyaksikan MK dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Jami’il Huda, Mahdi Mat Zain berwalikan bapa pengantin perempuan, Datuk Sri Dr Syeikh Nordin Sheikh Ahmad.

Memetik laporan Berita Harian, MK telah memberikan mas kahwin sebanyak RM302 dan seutas gelang tangan beserta wang hantaran yang dirahsiakan.

Malah, MK turut menyerahkan enam dulang hantaran berbalas enam dulang daripada pengantin perempuan.

Menurut MK, dia sangat teruja dan bersyukur kerana segala urusan perkahwinannya berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah, majlis lancar dan dipermudahkan walaupun persiapan dibuat dalam masa singkat. Doakan kebahagiaan kami,” katanya.

Majlis pernikahan tersebut turut dihadiri 100 tetamu merangkumi keluarga dan kenalan kedua-dua belah pihak.

Sumber: Berita Harian

Fatin Nurain