Muat Naik Foto Patung Berhala Di Twitter, Shah Rukh Khan Cetus Amarah Peminat Muslim?

Aktor terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan sekali lagi mencetuskan kemarahan peminat apabila dikatakan telah menduakan Tuhan.

Minggu lalu, Shah Rukh Khan ada berkongsi sekeping foto patung berhala sempena mengalukan kedatangan Tuhan Ganesha pada hari perayaan Gansh Chaturti.

“Saya dan si bongsu mengalu-alukan kepulangan Ganpatiji ke kediaman kami. Modaks (manisan buat Tuhan Ganesha) juga amat sedap. Pengajarannya di sini, dengan kerja keras, ketabahan dan kepercayaan kepada Tuhan, anda boleh mencapai segala impian. Selamat Hari Ganesh Chaturthi kepada anda semua,” tulisnya di Twitter.

Tindakan itu meraih pujian peminat beragama Hindu yang melihat dirinya sebagai contoh terbaik sekularisme, namun ia mengundang kekecewaan di kalangan umat Islam yang menyelarnya sebagai perbuatan menyekutukan Allah.

Ini bukanlah kali pertama Shah Rukh Khan mengundang kemarahan umat Islam terutama di India.

Walau mula menerima kecaman hebat daripada netizen sejak lima tahun lalu, hakikatnya pelakon legenda itu telah menyambut perayaan Ganesh Chaturthi bersama keluarganya sejak sekian lama.

Sebelum ini dia pernah berkongsi foto anak bongsunya, AbRam Khan menyembah berhala di kediamannya. Dia turut mencetuskan kontroversi tahun lalu apabila memuat naik foto Tuhan Ganesha sempena mengakhiri perayaan Ganesh Chaturthi.

Umum mengetahui isteri Shah Rukh Khan, Gauri Chibber merupakan penganut Hindu dan tidak pernah memeluk agama Islam sama ada sebelum atau selepas berkahwin.

Menerusi satu temu bual dalam rancangan Dance Plus 5 sebelum ini, Raja Bollywood itu menegaskan bahawa anak-anaknya adalah ‘warga India’, bukan Hindu atau Muslim. Malah dia mengakui tiada paksaan agama di rumahnya dan mereka meraikan semua perayaan.

“Kami tidak pernah berbincang isu Hindu-Muslim di rumah. Isteri saya penganut Hindu, saya beragama Islam dan anak-anak kami adalah warga India. Apabila perlu mengisi ruang agama dalam borang persekolahan, saya hanya menulis ‘India’ kerana kami tidak mempunyai agama,” katanya.

Sumber: Twitter @iamsrk

Khairil Khusyairi