#MuzikMuzik33: Hamil Tidak Halang Semangat Liza Hanim Di Pentas Separuh Akhir

Selain Siti Sarah, penyanyi Liza Hanim antara penyanyi berpengalaman yang membuat kemunculan semula dalam Muzik- Muzik 33.

Lagu bertajuk Mimpi ciptaan Hafiz Hamidun, manakala lirik Fedtri Yahya ini bakal dipersembahkan di pentas separuh akhir MM 33 bermula 9 November sehingga 23 November ini.

Biarpun sedang sarat mengandung, Liza tetap akan naik ke pentas dan berharap dapat memberi persembahan terbaik pada hari itu nanti.

“ Saya tidak meletak harapan yang tinggi, tetapi kalau lagu ini layak ke AJL 33…Alhamdulillah.

“ Pentas akhir AJL 33 masih lama lagi. Jika lagu Mimpi layak ke peringkat akhir, saya bersyukur. Tetapi saya masih belum terfikir mencari penyanyi ganti lagi,” katanya yang dijangka melahirkan anak pada Januari 2019.

Liza yang ditemui pada majlis sidang media Separuh Akhir Muzik Muzik Ke-33 memaklumkan dia dijangka melahirkan anak lelaki, Januari 2019.

“ Syukur Alhamdulillah saya masih diberi tenaga yang baik sepanjang kehamilan malah tetap bersemangat untuk beraksi meskipun tarikh bersalin dah dekat,” katanya yang bakal menimang cahaya mata lelaki.

SGMS Faida