Nabil Ahmad Jawab Dakwaan Pengacara Termahal – “Nilai Di Sini Bukan Sebagai Duit, Tapi…”

Baru-baru ini tular sebuah video yang memaparkan senarai pengacara yang dikatakan mempunyai baayaran tertinggi dalam negara.

Menerusi hantaran video tersebut dengan tajuk Top 7 Bayaran Pengacara Selebriti Termahal, Nabil Ahmad dikatakan dibayar paling mahal dengan jumlah bayaran sebanyak RM40,000.

Dalam perkongsian sama turut menyenaraikan beberapa pengacara lain seperti Zizan Razak (RM30,000); Datuk AC Mizal (RM28,000); Datuk Aznil Nawawi (RM25,000 hingga RM28,000); Awal Ashaari (RM25,000); Raja Azura (RM23,000) dan Fara Fauzana (RM20,000).

Memetik laporan Harian Metro, Nabil menepis dakwaan dirinya dibayar dengan jumlah yang semahal itu dan mengakui nilai sebagai pengacara bukan terletak pada duit sahaja.

“Ya Allah, kalau dia letak itu nilai untuk saya, yang mana nilai mengacara yang mahal, mestilah gembira. Nilai di sini bukan sebagai duit, tapi nilai hos mahal iaitu ada standard tersendiri. Namun, untuk harga tak pernah dapat bayaran macam tu. Kalau dikira mengikut kerja berepisod memanglah banyak. Tapi, untuk dapat satu harga, saya sendiri tak berani letak harga macam tu.

“Saya ni belajar semasa mengacara, nak klien puas hati dengan kita, puas hati dari segi mengacara dan harga. Sebagai contoh kalau saya buat acara korporat, kalau letak harga tinggi, jangkaan orang juga tinggi. Kalau harga diberi sederhana, klien pun okay. Jadi, jika ada cakap mengacara biasa saja, ia sesuai dengan harga. Tapi, apabila letak harga okay dan orang memberikan maklum balas mengacara bagus, ‘best’, itu lebih bernilai pada saya,” katanya.

Nabil atau nama lengkapnya Ahmad Nabil Ahmad juga berkata apa yang menjadi keutamaan adalah menjalin hubungan baik dalam jangka masa panjang dengan semua pihak yang pernah bekerjasama dengan dirinya.

“Kalau dapat klien berulang, kita tahu dia suka dengan harga, mengacara, cara ‘PR’, maksudnya kita di jalan betul. Bagi saya, tidak ada jaminan jika meletakkan harga tinggi boleh memuaskan hati semua tetamu yang datang. Hakikatnya, tidak boleh.

“Kita kena sedar tak boleh puaskan semua hati. Pasti akan ada yang cakap tak ‘best’ pun. Lebih baiklah harga sederhana saja. Saya lebih suka hubungan jangka masa panjang,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi