Nafi Dakwaan Persetubuhan Luar Nikah, Syamsul Yusof Maklum Ira Kazar Bakal Saman JAWI

Pengarah, Syamsul Yusof menafikan dakwaan isteri pertamanya, Puteri Sarah bahawa dia melakukan pesetubuhan luar nikah.

Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, berkata, tuduhan itu sama sekali tidak berasas dan dia turut mempersoalkan ketelusan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Tambahnya, kes tersebut masih dalam siasatan di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Di Bawah Seksyen 23; Persetubuhan Luar Nikah.

“Saya menafikan apa yang Puteri Sarah dakwa tentang saya dan isteri kedua (Ira) melakukan persetubuhan luar nikah.

“Minta maaf cakap, Jawi ini ada banyak masalah sebenarnya berkaitan dengan rumah tangga dan sebagainya.

“Kenyataan-kenyataan yang tidak benar dan mungkin ada unsur-unsur rasuah. Saya berkahwin dengan Ira pada 6 Januari. Itu adalah tarikh saya bernikah.

“Dan, Alhamdulillah (perkahwinan) kami telah didaftarkan secara sah di sini (Malaysia) pada 20 Januari 2023,” jelas Syamsul kepada media.

Syamsul ditemui pada sidang media tergempar di ibu kota, hari ini.

Tambah pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu lagi, dia masih sayangkan isteri pertamanya, Puteri Sarah.

“Saya masih lagi suami Puteri Sarah. Saya masih sayangkan dia dan masih berharap dapat berbincang dengannya berkaitan konflik rumah tangga.

“Pada masa sama, ini juga sebagai satu teguran buat Puteri Sarah bahawa saya masih suaminya!,” ujarnya lagi.

Terdahulu Syamsul memfailkan permohonan nusyuz terhadap isteri pertamanya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Fail Nusyuz, Syamsul Yusof Dakwa Puteri Sarah Curang Dengan Suami Orang… Kesal Difitnah Abai Nafkah

Antara alasan yang dikemukakan Syamsul adalah mendakwa Sarah berlaku curang dengan bekas kekasihnya yang juga suami orang, meninggalkan rumah kelamin sejak oktober 2020, enggan mematuhi notis nusyuz dan memfitnahnya memukul serta tidak memberi nafkah.

Januari lalu, Puteri Sarah memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya yang juga pengarah, Syamsul Yusof selepas berdepan kemelut rumah tangga sejak lima tahun lalu.

Untuk info, Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam dan Summayah.

Khairil Khusyairi