“Nak Mula Menulis Pun Dah Rasa Sayu” – Kongsi Lagu Terakhir Siti Sarah, Naim Daniel Buat Ramai Netizen Sebak

Penyanyi dan komposer, Naim Daniel sempat berkongsi klip video rakaman terakhir Allahyraham Siti Sarah Raisuddin ketika menyanyikan lagu ciptaannya, Sudah sempena pelancaran lagu itu pada Jumaat.

Perkongsian itu di muat naik Naim menerusi hantaran di Instagram miliknya.

Menurut Naim, lagu ciptaannya ini merupakan lagu yang cukup peribadi buat dirinya selain menganggap ia adalah pengalaman yang cukup bermakna dan tidak akan dilupakan.

“Nak mula menulis pun hati ni dah sayu. Ini merupakan projek penulisan lagu yang amat personal pada saya. Untuk menulis buat insan yang percaya akan kemampuan saya, dan dia merupakan seorang Siti Sarah.

“Satu pengalaman yang takkan mampu saya lupakan. Kakak, lagu “SUDAH” dah selamat lahir hari ini. Harap kakak suka,” tulisnya.

 

Bukan itu sahaja, Shuib dalam hantaran sama turut memuat naik nyanyian arwah Sarah menerusi Instagram miliknya.

 

Menjengah di ruangan komen, rata-rata peminat melahirkan rasa sebak dan rindu mereka terhadap Allahyarham Siti Sarah apatah lagi ketika mendengar nyanyian beliau.

Bagaimanapun, untuk meneruskan rakaman dan penghasilan lagu ini sepenuhnya, penyanyi Nikki Palikat dipilih untuk menggantikan Allahyarham Siti Sarah.

Difahamkan, lagu Sudah merupakan lagu yang diimpikan oleh arwah untuk mara ke Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Ketika pihak Indigital datang kepada saya dengan lagu ini, mula-mula dengar kita tahu cerita disebaliknya, macam-macam perasaan ada.

“Demo lagu ini dah ada, tinggal ke studio untuk masukkan vokal sahaja. Tapi tak ada rezeki arwah Sarah. Jadi bila saya dapat lagu ni dan Shuib pun merestui, saya rasa ini adalah tanggungjawab saya untuk tunaikan hasrat Sarah sampai ke AJL,” katanya.

 

Salma Syahbuddin