Nama Semakin Dikenali,  Sharifah Rose Mahu Fokus Pada Lakonan & Kembangkan Bisnes Ke Peringkat Antarabangsa – “Tahun 2023 Buat Saya Lebih…”

Nama semakin dikenali dan melonjak naik dalam dunia hiburan tidak menghalang pelakon dan usahawan muda, Sharifah Rose, 25, untuk terus mencapai impiannya pada tahun 2023.

Malah, pada awal bulan Mac Sharifah menjadi duta untuk perhiasan jenama terkenal Habib dan menjadi ‘face-off’ koleksi Raya Habib.

Menurutnya, tahun 2023 membuatkan dirinya menjadi lebih matang dan bijak menguruskan hala tuju hidupnya terutamanya dalam kerjaya dan bisnes.

Aktres drama rantaian Kekasih Hati Mr. Bodyguard ini berhasrat untuk mengembangkan jenama tudungnya, ‘Harirose’ kepada luar negara seperti Brunei dan Singapura.

“Tahun 2023 ini adalah tahun yang saya nak memberi tumpuan sepenuhnya kepada perkara yang saya nak capai. Sebab selama ni saya macam go with the flow je. Dapat tawaran itu ini, saya buat saja.

“Tapi untuk tahun ini, saya dah ada lebih hala tuju dalam kerjaya dan bisnes saya. Saya ada certain target untuk tudung jenama saya..

“Insya-Allah, jika ada peluang nak besarkan branding ke Singapura, Brunei. Setakat ini, semuanya melalui online juga. Kalau ada rezeki lebih, saya nak buka kedai fizikal tudung saya,” katanya.

Bercerita mengenai kerjaya lakonannya, Sharifah berkata dia mencari kepuasan dalam diri ketika menjayakan sebuah watak dan bercita-cita untuk berada di satu produksi bersama pelakon tersohor tanah air.

“Dari segi lakonan, saya baru masuk tahun ketika. Saya nak capai kepuasan untuk diri sendiri. Terutamanya kalau dapat watak yang menarik dan peluang berlakon dengan pelakon-pelakon legenda tanah air.

“Selama ni saya selalu bawa watak isteri yang teraniaya, yang sedih-sedih. Saya aim nak bawa watak jahat atau antagonis. Sesuatu yang berbeza. Saya juga ada cita-cita untuk berlakon dalam filem,” ujarnya.

Sebelum ini, Sharifah mendedahkan pernah membeli cincin berlian bernilai RM10,000 iaitu hasil gaji pertamanya sebagai pelakon.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenang Memori Pembabitan Awal Dalam Lakonan, Sharifah Rose Beli Cincin Berlian RM10,000 Guna Gaji Pertama

Aqilah Paharuzi