Joe Flizzow Luahkan Kesepiannya Dalam ‘Sunyi’

Penyanyi Hip Hop terkenal tanah air, Joe Flizzow telah telah menghadiahkan peminat dengan naskah terbaru yang berjudul ‘Sunyi’.

Menurut pemenang Anugerah Juara Lagu ke-29 itu menggambarkan lagu ‘Sunyi’ ini dengan suasana sepi ketika berada di kemuncak.

“Seperti judulnya, Sunyi yang juga boleh membawa maksud kesepian atau sendiri menjelaskan rasa kesunyian yang dihadapi oleh ramai orang. Saya percaya ramai orang mampu merasai lagu ini, khasnya para selebriti

“Ramai yang menyangka bahawa kemasyhuran dan populariti merupakan tujuan utama para
selebriti, tetapi ramai juga yang lupa bahawa kadangkala mereka juga berasa kesunyian.

“Apatah lagi tika berada di puncak kerjaya. Malah sunyi juga menggambarkan kesepian. Definisi-definisi inilah yang memberi makna kepada lagu ini,” jelas Joe yang juga dikenali sebagai ‘Mr President’ dalam arena Hip Hop tempatan.

Naskah tersebut dicipta oleh rakan rapatnya, SonaOne dan liriknya adalah nukilan Joe sendiri.

Menurut Joe ilham untuk menulis lagu itu adalah ketika dia menginap di Times Square di pusat kota New York.

“Biasanya kalau ke New York saya tidak akan tinggal di Times Square. Ia adalah salah satu tempat paling sibuk di dunia. Namun, di balik kesibukan kota itu, saya tiba-tiba merasa paling sepi dan sunyi dalam hidup saya. Dengan berjauhan dari tempat asal, detik itu benar-benar mencetuskan ilham yang membawa kepada penciptaan lagu ini,” kata Joe lagi.

Selepeas lirik lagu ini sudah siap ditulis, Joe terus berkongsi karya ini dengan rakan seperjuangannya, SonaOne dan Alyph mengharapkan mereka mahu bekerjasama untuk merakamkan lagu ini.

“Saya dah berfikir bahawa lagu ini sesuai untuk mereka rakam dan lancarkan. Tapi selepas mereka mendengarnya, kata mereka lebih baik saya yang nyanyikannya. Lagipun, dah lama saya tak merakam dan menyanyikan lagu sendiri. Oleh kerana lagu ini agak peribadi buat saya, jadi saya teruskan idea untuk merakamkannya seperti yang mereka cadangkan,” sambung Joe lagi.

Sunyi juga hadir dengan sebuah video muzik menarik yang menggambarkan perjalanan kerjaya Joe sebagai anak seni dan boleh distrim di semua platform digital bermula 14 April 2023.

Izzi Farhana