Nas-T Mental ‘Koyak’, Berlubang Tangan Jadi Kenangan Manis

Pelakon gemar aktiviti lasak, Nas-T mengakui pernah ‘koyak’ sewaktu menjalani latihan komando untuk filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa.

Menurutnya, rakan pelakon lain turut mengalami perkara yang sama walaupun latihan tersebut hanyalah 20 peratus daripada latihan sebenar.

Latihan komando Pasukan Khas Udara (PASKAU) yang dilakukan di Kem Jugra, Banting itu mengambil masa selama seminggu dan seawal jam 6 pagi sehingga matahari terbenam.

“Bagaimanapun, latihan yang perlu ditempuh untuk bergelar komando bukanlah mudah, latihannya amat susah. Walaupun latihan diberikan kepada kami hanya 20 peratus tetapi sejujurnya saya ‘koyak’.

“Hari pertama kami diajar ciri-ciri keselamatan, manakala hari kedua mengendalikan pistol, diikuti dengan raifal pada hari ketiga.

“Pada hari keempat kami berlari sambil menembak dan seterusnya, perlu mengikuti peperiksaan sebelum dibenarkan bergelar komando,” katanya.

Kata Nas-T, segala aksi di dalam filem tersebut dilakukan sendiri tanpa pelakon lagak ngeri dan banyak mengalami kecederaan.

“Kecederaan yang menjadi kenangan manis saya adalah semasa satu babak dimana saya tersalah tepis senjata dan terkena tangan sehingga berlubang,” ujarnya.

Selain Nas T, filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa turut dibintangi Datuk Adi Putra, Aiman Hakim Ridza, Sara Ali, Pablo Amirul, Johan As’ari, Luqman Hafidz, Anas Ridzuan, Jack Tan, Iman Corinne, Scha Alyahya dan Carmen Soo.

Maya Basir