Kes Culik Anak Perempuan, Lufya Omar Masih Belum Beri Keterangan

Pelakon Lufya Omar masih belum beri kerjasama dengan pihak polis bagi siasatan kes cubaan culik anak perempuannya pada 26 Jun lalu.

Menerusi laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid memberitahu sehingga kini pihaknya masih belum terima keterangan wanita itu.

“Kita (polis) masih menunggu kerjasama beliau (Lufya) dan kita perlu mengambil keterangan anaknya berkaitan kejadian berdasarkan laporan polis dibuat pada Jun.

“Malah, kanak-kanak itu juga kita perlu merujuknya kepada Child Interview Center (CIC) untuk diambil keterangan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Terdahulu, Lufya melaporkan didakwa seorang lelaki cuba menculik anak perempuannya, Laana Haura ketika berada di taman permainan rumah mereka di Kota Damansara.

Menurut Lufya atau nama sebenar Lutfyah Sheikh Omar bersyukur dia dan anaknya selamat namun terdapat kecederaan pada wajahnya yang didakwa dipukul menggunakan batang kayu.

Untuk rekod, laporan polis berhubung kejadian itu dibuat kira-kira jam 6 pagi pada 29 Jun lalu di Balai Polis Kota Damansara.

Sumber: Harian Metro

Maya Basir