“Nasi Baru Berapa Jam Masak Jadi…” – 10 Kali Pergi Berubat, Ayie Floor 88 Tutup Kafe Gara-Gara…

Vokalis kumpulan Floor 88, Ayie Elham terpaksa menutup perniagaan kafe di Setapak, Kuala Lumpur akibat gangguan sihir pada Disember lalu.

Memetik laporan Berita Harian, selain berpunca daripada hasad dengki individu lain, berlaku pecah amanah yang membabitkan pekerjanya.

Menurutnya, perniagaan yang mula beroperasi sejak pertengahan tahun 2020 mendapat sambutan yang sangat bagus namun lima bulan kemudian terjadi perkara misteri.

“Antaranya, pelanggan tak nampak atau kafe kelihatan tutup walaupun berniaga seperti biasa. Perkara lain membingungkan apabila nasi dimasak menjadi basi dalam tempoh beberapa jam.

“Saya berjumpa ustaz dan berdasarkan pencerahan, memang kafe terkena gangguan sihir. Bagaimanapun, ustaz enggan mendedahkan identiti individu melakukan perbuatan khianat.

“Sebaliknya, mengatakan sihir dihantar oleh individu tidak senang melihat kejayaan kafe dan kebahagiaan saya,” katanya.

Katanya lagi, dia sudah cuba usaha pergi berubat sebanyak 10 kali, tetapi gangguan sama masih datang berulang kali.

Sementara itu, pecah amanah yang dilakukan oleh pekerjanya itu diketahui selepas memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) di kafe kerana jumlah keuntungan yang tidak setimpal dengan jualan.

“Selain gangguan sihir, kafe juga berdepan isu pecah amanah membabitkan juruwang. Saya tak tahu juruwang songlap duit sebanyak RM13,000. Dia buat kerja secara senyap.

“Patutlah saya rasa ada sesuatu tidak kena dengan hasil jualan. Meskipun ramai pelanggan dan menjangkakan keuntungan antara RM1,000 hingga RM2,000 satu malam, namun jumlah diberikan hanya RM500.

“Bagaimanapun, perbuatannya terbongkar selepas saya memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) di kafe.

“Disebabkan serabut dengan isu gangguan sihir dan wang kedai lesap, saya memutuskan untuk menutup perniagaan,” jelasnya.

Mengulas tentang kes pecah amanah, Ayie sudah membuat laporan polis tetapi memilih menyelesaikan masalah secara bersemuka.

“Kalau boleh saya tak mahu juruwang itu dipenjara kerana masih ada perasaan belas kasihan dan mengenangkan kebaikan dilakukan.

“Alhamdulillah, juruwang memulangkan wang yang dicuri selepas berbincang,” katanya.

Maya Basir