Nora Ariffin Pulang Umrah Berkerusi Roda

Terpaksa pulang dengan berkerusi roda, penyanyi Nora Ariffin mendedahkan dia mengalami kecederaan di kaki kirinya sewaktu mengerjakan umrah di Makkah baru-baru ini. 

Menceritakan pengalamannya itu,  menurut Nora ia terjadi ketika sedang menuruni puncak Jabal Nur selepas menziarahi Gua Hira. 

“Setiap kali menunaikan umrah, saya memang menyimpan hasrat untuk mengunjungi gua berkenaan.  Namun, hanya pada kunjungan kali ini baru impian itu tercapai.  Saya naik ke puncak Jabal Nur sekitar jam 1 pagi kerana hanya waktu itu ia tidak ramai orang mengunjunginya.

“Ketika itu, keadaan sangat gelap dan berangin.  Memandangkan kami perlu mengejar waktu Subuh, ketika menuruni bukit berkenaan, saya sedikit tergesa-gesa sehingga tergelincir dan terjatuh. 

“Akibatnya, kaki kiri saya tercedera dan terpaksa menggunkan kerusi roda atau tongkat untuk bergerak.  Doktor nasihatkan supaya saya berehat dan tidak memaki kasut tumit tinggi selama dua minggu,” katanya kepada BH Online.

Walaupun berdepan dengan ujian sedemikian dan hampir berputus asa mendaki Jabal Nur tanpa sebarang persediaan, Nora bersyukur kerana dia berjaya mencapai impiannya untuk ke Gua Hira’, tempat di mana Rasullullah SAW menerima wahyu baginda yang pertama.  

“Untuk sampai ke puncak sahaja ia mengambil masa selama dua jam.  Berikutan tidak membuat sebarang persediaan, hampir sahaja saya mahu menghentikan pendakian disebabkan tidak larat. 

“Namun, dorongan diberikan teman yang mengikuti rombongan membuatkan saya bersemangat untuk kembali menyambung pendakian,” katanya pelantun lagu Di persimpangan Dilema ini.  

Nora atau nama penuhnya Wan Norafizah Ariffin (46) kembali ke tanah air Ahad lalu dan akan mengerjakan umrah bersama peminatnya pada 18 Mac akan datang. 

Kredit Foto: Instagram @itsnoraariffin

Del14