Nurul Shuhada Dedah Terima Surat Tuntutan Dari Athirah Yuhada – “Pihak Ketiga Menuntut Tulisan Saya Berkaitan…”

Isteri Hafidz Roshdi, iaitu Nurul Shuhada mendedahkan ada menerima surat tuntutan dari pihak ketiga ekoran hantarannya di Instagram.

Menerusi hantaran di Instagram, pihak ketiga iaitu individu yang menggangu rumah tangganya bersama Hafidz, dikenali sebagai Athirah Yuhada telah membuat tuntutan tersebut berdasarkan status bertarikh 15 Februari lalu.

“Ramadan ketiga, semalam saya dimaklumkan oleh peguam saya bahawa ada menerima surat tuntutan dari pihak ketiga. Dia menuntut dari tulisan saya di instagram pada 15/2/2023 berkaitan ucapan terima kasih kerana menghancurkan hati saya dan anak-anak.

“Seharian semalam, susah hati jugalah untuk saya yang belum pernah ada pengalaman ke mahkamah. Nervous juga memikirkan jumlah tuntutan ganti rugi yang bakal dia tuntut,” katanya.

Dalam pada itu, Shuhada bagaimanapun tidak berputus asa meskipun pelbagai ujian yang harus dilaluinya saat ini selain perlu berdepan pelbagai kes mahkamah.

“Walaupun rasa seperti jatuh ditimpa tangga selepas proses penceraian, kes mahkamah syariah, kes keganasan rumahtangga dan yang ini pula.

“Tak apa! Saya perlu bangkit. Jangan kalah. Saya kena kuat dan ini perjuangan saya. Saya hendak bagi contoh pada anak-anak saya kena kuat berjuang, jangan biar dibuli dan dipijak-pijak. Biarlah satu ketika dulu saya silap, terlalu percaya,” ujarnya.

Sebelum ini, Shuhada memuat naik hantaran di Instagram memaklumkan anak perempuannya, Humairah terpaksa menerima rawatan psikiatri kanak-kanak selepas menjadi saksi terhadap segala konflik yang berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Perempuan Nurul Shuhada Terima Rawatan Psikiatri Kanak-Kanak – “Humairah Paling Terkesan Sebab Semua Jadi Depan Mata Dia”

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah menetapkan 9 Mei depan sebagai sebutan semula kes cerai pasangan berkenaan.

Ia ekoran,Hafidz didakwa telah melafazkan cerai lebih awal melalui mesej di aplikasi WhatsApp pada Januari lalu.

Sebelum itu, adik Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, memaklumkan Hafidz sah bercerai talak satu dengan kakaknya pada 22 Februari lalu yang mana lafaz ketika itu dibuat menerusi panggilan telefon.

Pada 13 Mac lalu, Hafidz didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru atas pertuduhan menumbuk pipi kiri Shuhada sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor.

Untuk rekod, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi , 29, dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun.

Aqilah Paharuzi