P. Radhi Bawa Aura P. Ramlee Dalam Naskhah Salam Hari Raya

Penyanyi, P. Radhi yang dikatakan mempunyai suara nirip seperti seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee muncul dengan lagu raya baharu berjudul Salam Hari Raya.

Menurut P. Radhi, lagu ini merupakan sesuatu yang amat ditunggu olehnya kerana sebelum ini dia hanya menyanyikan lagu-lagu ‘cover’ sahaja.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih pada syarikat Luncai Emas kerana percaya pada saya membawa lagu tersebut dan juga terima kasih pada team yg menjayakan lagu raya ini. Tidak lupa juga, saya ingin berterima kasih kepada semua yang tidak henti-henti menyokong saya dan juga sentiasa di belakang saya. Lagu ini untuk anda, terima kasih, Alhamdulillah,” katanya.

P. Radhi juga berkata bahawa kisah }Raya setiap orang berbeza dan baginya Syawal sudah tidak seindah dulu kerana ibu bapa sudah tiada.

“Tapi setelah menyanyikan lirik yang ditulis oleh abang Keon dan abang Wan tersebut, saya tersentap, kita perlu akur sebenarnya bahawa Aidilfitri ialah hari kemenangan dan hari kebesaran untuk umat Islam yang berjaya mengharungi dugaan Ramadan,” jelas P. Radhi.

Naskhah tersebut dicipta oleh komposer dan pemuzik AR Wanz dan liriknya ditulis oleh Keon yang juga menampakkan kesamaan suara P. Radhi dengan seniman agung tanah air itu.

Salam Hari Raya juga sudah boleh distrim bermula 14 April 2023 di semua platform digital dan muzik video juga dilancarkan pada hari yang sama.

Izzi Farhana