Pengakuan Jujur Adam Corrie, “Babi Hutan Lagi Sedap”

Intipati perbualan pelakon Adam Corrie atau nama sebenarnya Adam Corrie Lee Abdullah (52) dengan isterinya baru-baru ini yang dikongsi oleh Adam menerusi satu entri di laman Instagramnya (IG) menarik perhatian netizen kerana ia mengenai khinzir!

Dalam entri tersebut, Adam berkata dia telah ditanya oleh isterinya tentang sama ada dia pernah menikmati daging babi hutan sebelum memeluk Islam dan jawapan Adam membuat isterinya terkesima. 

Pertanyaan spontan itu terjadi kerana kebetulan mereka sedang menonton siaran berita tentang babi hutan yang berkeliaran di kampung.

“Bidadari saya tanya…saya jawab je la dengan jujur. Respon ‘erkk’ sebab dia ingat babi pink yang lebih ramai suka makan tapi sebaliknya,” tulis Adam.

Adam juga berkata harga daging babi hutan lebih mahal berbanding dengan babi yang diternak.

Dalam pada itu, Adam gembira melihat ramai rakannya yang bukan Islam sudah mula mempunyai kesedaran tentang pengambilan daging babi boleh membawa kepada pelbagai penyakit dan kemudaratan dan memilih untuk tidak lagi memakan daging haiwan tersebut.

“Sekarang ramai rakan bukan Islam tak makan daging babi atas kesedaran faktor kesihatan.  Alhamdulillah, empat tahun sebelum memeluk Islam, saya sudah tiada rasa nak makan daging babi. 

“Rupa-rupanya Allah nak saya bersih sebelum kembali kepada fitrah.

“Setiap kejadian yang Allah cipta bukan sia-sia.  Allah jadikan babi itu ujian bagi umat Islam.  Jangan kita pandang hina setiap kejadian tapi pandang ia satu ujian dan hikmah di sebaliknya.

“Jadikan apa yang saya cerita ini satu ilmu pengetahuan.  Ambil yang positif ya.  Jika kita pandang negatif, negatif yang kita dapat,” tulisnya lagi. 

Sekadar info, Adam memeluk agama Islam pada 13 Julai 2007 sebelum mendirikan rumah tangga dengan isterinya, Fazema Mohd Fuad pada 2008. 

Kredit Foto: Instagram @adamcorrielee
Del14