Perdana Menteri Puji Lakonan Farid Kamil Hidupkan Watak ‘Anwar’

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji lakonan yang dibawakan oleh pelakon Farid Kamil dalam filem Anwar: The Untold Story.

Filem tersebut diadaptasikan daripada kisah benar yang diinspirasikan daripada perjalanan karier Anwar sebagai ahli politik dari tahun 1993 sehingga 1998.

“Sukar saya nak nilai tapi penampilannya, gayanya segala payahnya untuk menjadi saya walaupun dia lebih kacak daripada saya. Yang itu saya kurang setuju.

“Tapi dari segi lakonan sangat baik. Mungkin sukar untuk melakonkan babak ketika saya marah, sakit. Tetapi dia berjaya melakonnya dengan baik sekali,” ulasnya.

Terdapat sebuah babak dalam filem tersebut dimana Anwar (Farid Kamil) menyanyikan lagu Azizah kepada isterinya iaitu Datin Seri Wan Azizah yang dilakonkan oleh Acha Septriasa.

Anwar sempat bergurau dengan mengatakan bahawa nyanyiannya adalah lebih baik dari Farid.

Bercerita lebih lanjut tentang lagu Azizah yang menjadi kegemaran Anwar, beliau berkata bahawa dia meminati lagu tersebut sebelum berjumpa isterinya lagi.

“Memang saya dah hafal lagu tu sebelum saya jumpa Azizah. Tapi bila lama-lama tu memang betullah saya dipertemukan dengan Azizah,” jelas Anwar lagi.

Anwar ditemui pada malam tadi bersama isteri tercinta serta barisan pelakon dan produksi sempena Malam Tayangan Perdana Filem Anwar: The Untold Story yang bertempat di Pavillion, Bukit Bintang.

Filem ini diteraju oleh pelakon utama Farid Kamil, Acha Septriasa, Hasnul Rahmat dan ramai lagi serta bakal ditayangkan pada 18 Mei 2023 di pawagam seluruh Malaysia.

Izzi Farhana