Perlu Jalani Rawatan Psikiatri, Hafidz Roshdi Diperintah Untuk Dibawa Ke Hospital Bahagia

Selepas mengaku tidak bersalah, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu memerintahkan pelakon Hafidz Roshdi dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikiatri, hari ni.

Perintah tersebut telah dikeluarkan oleh  Hakim Siti Fatimah Talib yang merupakan majistret kes perbicaraan pagi ini selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar bagi pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Dalam perbicaraan tersebut, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili anak guamnya, Hafidz mengesahkan bahawa pelakon itu mempunyai masalah kesihatan mental, depresi dan Bipolar Disorder.

Sebelum ini, Hafidz mengaku tidak bersalah atas tuduhan menumbuk pipi kiri isterinya sebanyak tiga kali hingga luka dalam kejadian di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, pada 2 Mac lalu.

Kes tersebut telah dirujuk mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Kes perbicaraan hari ini telah diketuai Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar, manakala Hafidz diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Dakwaan Pukul Isteri, Hafidz Roshdi Tenang Tiba Di Mahkamah Pagi Ini

ARTIKEL BERKAITAN: Hafidz Roshdi Mengaku Tidak Bersalah Pukul Isteri

Fatin Nurain