Pernah Terima Bayaran RM100, Lah Ahmad Syukur Rezeki Kembali Di Karier Nyanyian – “Saya Terpaksa Bersetuju Kerana…”

“Satu tahun cuma ada dua persembahan saja ketika itu. Saya cuma fikir nak putus asa atau teruskan”

Demikian kata-kata penyanyi Lah Ahmad, 42 apabila mengenang kembali saat karier nyanyiannya suram selepas mengumumkan berundur daripada kumpulan VE ketika dahulu.

Lah atau nama lengkapnya Abdullah Ahmad mendedahkan dia berada di titik terendah dalam hidupnya apabila terpaksa menerima bayaran serendah RM100 untuk membuat persembahan.

“Zaman susah saya sekitar tahun 2013 selepas keluar daripada kumpulan VE. Orang masih mahukan saya menyanyi tetapi saya tiada kumpulan dah.

“Saya pernah dapat bayaran membuat persembahan pentas serendah RM100 yang terpaksa dibahagi dua bersama pengurus. Ia terpaksa merendahkan diri saya balik ketika itu.

“Saya terpaksa bersetuju untuk membuat persembahan walaupun dibayar dengan harga murah kerana memikirkan keluarga yang perlu ditanggung.

“Bukannya saya nak sangat duit itu tetapi saya nak buat kerjaya saya elok berpanjangan dan bertahan” kongsi Lah yang ditemui di majlis sidang media Soundvalley Festival 2023 di Panggung Asia, Gombak, baru-baru ini.

Biarpun kini rezekinya kembali memihak dalam bidang seni, pelantun lagu Kau Tercipta ini tetap membuat persembahan di majlis perkahwinan kerana ia adalah kepuasan baginya.

“Selain persembahan pentas, saya juga kerap diundang untuk membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan. Sejujurnya saya berasa lebih seronok menyanyi di majlis sebegitu.

“Sebab ketika saya menyanyi di majlis perkahwinan, tetamu tidak ambil peduli sangat berbanding ketika saya membuat persembahan pentas. Jadi saya berasa lebih selesa.

“Orang tak tepuk tangan pun tak mengapa. Apa yang penting saya masih jalankan tugas memeriahkan majlis. Itu kepuasan yang saya dapat,” jelasnya.

Untuk info, Lah Ahmad telah membuat konsert solo pertamanya pada Januari lalu dengan jayanya apabila tiket konsert tersebut habis dijual dalam masa 24 jam.

Khairil Khusyairi