Puteri Balqis Terima Sumbangan Lebih RM100,000 Selepas BersamaMu

Setelah kisah kesusahan hidup pelakon cilik, Puteri Balqis (13) dan ibunya ditayangkan dalam program Bersamamu di TV3 Ahad lalu, ramai orang yang prihatin dengan masalah yang dihadapi kanak-kanak yang pernah memenangi Pelakon Wanita Terbaik Drama, Anugerah Skrin yang ke-18. 

Ramai yang meminta supaya bakat Balqis atau lebih mesra dipanggil Aqish tidak dipersia-siakan dan dia diberikan ruang untuk kembali beraksi di dalam industri seni. 

Program Bersamamu telah membuka mata ramai pihak yang mungkin selama ini tidak menyedari masalah dan penyakit yang dihidapi Aqish, dan pihak Finas juga tidak terkecuali. 

Datuk Hans Isaac, selaku Pengerusi Finas menerusi satu posting di akaun Instagram miliknya telah berkongsi dengan umum, tindakan yang akan diambil Finas bagi membantu Balqis.

“Saya telah meminta pihak Finas untuk memberi perhatian dan bantuan kepada Puteri Balqis.  Dengan gembiranya saya umumkan yang kami sedang di dalam proses untuk memberi sedikit sebanyak bantuan kepadanya (sebagai sebuah agensi, kami masih memerlukan sokongan disertakan dengan dokumentasi lengkap sebelum apa-apa bantuan boleh dihulurkan kepada individu yang berkenaan).
“Apa-apa bantuan kewangan akan diberikan terus kepada pihak ketiga bagi membiayai pembelajaran atau bil perubatan Balqis,” tulis Hans sebagai kapsyen.
Hans juga berkata yang dia sudah berbincang dengan pihak Astro dan Media Prima bagi menghulurkan bantuan kepada Balqis.
Memetik laporan NST, Hans berkata, menurut sumber daripada Media Prima, setelah Bersamamu ditayangkan, ramai yang tampil memberi sumbangan kepada Balqis dan ibunya, termasuklah Persatuan Pengguna Islam Malaysia.
Sumbangan yang diterima sehingga kini dikatakan berjumlah lebih RM100,000 malah kesemua buku puisi Balqis juga sudah habis dijual dan akan dicetak semula bagi memenuhi permintaan.
Kredit Foto: Instagram @hansisaac & @rockingbalqis
Del14