Ratu Cantik Vivienna Alfred Kini Bergelar Hos, Tak Dapat Lupa Detik Cemas Tangki Oksigen Tak Berfungsi Ketika Menyelam!

Selepas merangkul tempat naib juara pertandingan ratu cantik Miss Grand Malaysia 2022, Vivienna Alfred melebarkan sayap dalam dunia pengacaraan.

Mesra disapa Vivi, gadis manis berusia 25 tahun ini begitu menggemari aktiviti lasak dan teruja dapat berkongsi minat meneroka dasar laut dalam program yang dikendalikannya.

“Sekitar empat tahun lalu, saya lakukan terjun udara di Dubai dan ia antara pengalaman paling menyeronokkan dalam hidup saya. Dapat melihat keindahan bumi dari pandangan udara ketika itu sangat menakjubkan.

“Justeru, saya berfikir suatu hari nanti wajib meneroka keindahan dasar laut pula bagi melihat sisi lain dunia pula. Tak sangka saya dapat menghidupkan mimpi saya menerusi program Deep C.

“Bergelar pengacara dan melakukan aktiviti menyelam ibarat serampang dua mata kerana saya dapat buat dua kerja yang saya suka!” kata Vivi.

Tambah wanita jelita ini, saat cemas ketika tangki oksigen tidak berfungsi seperti biasa menjadi perkara yang tak akan dilupakan sepanjang menjalani penggambaran Deep C.

“Apabila berada di dasar laut, masa berlalu dengan begitu pantas dan tanpa disedari, kita sudah terlalu letih bila kembali ke permukaan. Sekali menyelam ambil masa sekitar 45 minit dan saya lakukannya sebanyak dua atau tiga kali setiap hari.

“Ada satu hari, tangki oksigen saya tidak berfungsi secara normal sewaktu sudah berada di dasar laut. Saya tidak boleh bernafas sekali gus sangat panik dan mahu cepat-cepat naik ke permukaan laut tanpa ikut prosedur betul.

“Mujur jurulatih selam saya ketika itu sangat profesional menangani situasi terbabit dan segalanya dapat diselesaikan secara baik ketika itu. Memang satu pengalaman yang membuka mata saya,” katanya.

Menyifatkan setiap lokasi menyelam memiliki keistimewaan tersendiri, Vivi sendiri tidak sabar penonton keunikan terbabit dalam Deep C.

“Paling menyeronokkan apabila dapat melihat dan mendalami sendiri keunikan makhluk di dasar laut. Program ini menyeronokkan selain sangat informatif.

“Ia berkongsi mengenai topik tarikan pelancongan, latar belakang bersejarah, pengalaman mengenai budaya, kesedaran isu tertentu, perubahan iklim, projek perlindungan dan pemulihan berkaitan penjagaan laut,” katanya.

Deep C yang diterbitkan Peak Project mula ditayangkan esok, 24 Disember 2022. Jangan lupa saksikan Deep C yang bersiaran sebanyak 13 episod setiap Sabtu, jam 9.30 malam di TV Okey (Astro Saluran 146).

Padin