Rider Akhirnya Pulangkan ‘Barang’ Lepas Viral, Harris Alif Harap Jadi Pengajaran!

Pelakon dan penyanyi, Harris Alif mendapati seorang penghantar makanan mencuri kasut di kawasan luar rumahnya.

Sebelum hantaran di Instagramnya dipadam, Harris ada memuat naik video tentang butiran suspek yang mencuri kasutnya dan memohon orang ramai untuk bantu menjejakinya.

Terbaharu, menerusi perkongsiannya di Instagram Story, individu tersebut sudah tampil memohon maaf atas perbuatannya.

“Alhamdulillah saya baru jumpa ‘rider’ yang ambil barang saya itu. Dia pun dah minta maaf dengan cara elok.

“Saya bukan nak aibkan sesiapa tapi saya muat naik video permohonan maaf dia sebab nak beritahu perkara ini sudah selesai.

“Harap menjadi pengajaran kepada ‘rider’ yang lain supaya jangan buat hal lagi. Tolonglah.

“Terima kasih kepada semua yang tolong viral dan kongsi perkara ini,” katanya.

Menurutnya lagi, dia memaafkan dan tidak bertindak membuat laporan polis seperti yang disarankan kerana prihatin akan masa depan individu yang sudah mempunyai keluarga itu.

“Bagi mereka yang suruh ambil tindakan dengan membuat laporan polis, saya rasa sudah cukup dah dengan isu viral ini. Dia pun sudah tampil dan pulangkan.

“Dia pun ada anak dan bini, jadi kita sebagai orang Islam ada hati perut lagi sebab dia ada keluarga. Cuma saya harap jangan ulangi benda yang sama,” katanya.

Maya Basir