Saintis Namakan Pokok Spesis Baru Leonardo DiCaprio

Sekumpulan saintis antarabangsa di Royal Botanic Kew Gardens London dan Herbarium Kebangsaan Cameroon telah memberi penghormatan kepada pelakon Hollywood terkenal, Leonardo DiCaprio yang juga merupakan aktivis alam sekitar dengan menamakan spesis pokok tropika baharu dengan namanya.

Menurut satu kenyataan media, pokok tropika itu merupakan tambahan pertama kepada senarai spesis baharu 2022 di RBG Kew.

Uvariopsis dicaprio berasal dari Hutan Ebo, Cameroon.

Menurut Kawasan Biodiversiti Utama, Hutan Ebo merangkumi separuh daripada Kawasan Biodiversiti Utama Yabassi, yang merupakan kawasan nenek moyang lebih daripada 40 komuniti tempatan, dan merupakan rumah kepada gorila, gajah hutan dan cimpanzi.

Dalam botani, tumbuhan sering dinamakan sempena saintis yang telah menunjukkan dedikasi terhadap sesuatu bidang penyelidikan.

Pelakon Titanic itu telah berbahaskan mengenai Kawasan Biodiversiti Utama Yabassi apabila ia terancam daripada konsesi pembalakan tahun lepas.

“Hutan Ebo Cameroon, dan semua haiwan yang tinggal di sana, menghadapi masalah. Ini termasuk gajah hutan, gorila, cimpanzi, dan banyak lagi. Mari bantu #SaveEboForest,” katanya dalam satu hantaran di akaun Twitternya pada Ogos 2020.

Sebulan kemudian, kerajaan Cameroon membatalkan konsesi pembalakan.

“Kami sangat menghargai sokongan yang diberikan Leo kepada kami dalam kempen melindungi Ebo tahun lepas. Jadi sebagai penghormatan, kami namakan spesis unik hanya untuk hutan ini, dengan nama Leo,” kata Martin Cheek, seorang saintis di RBG Kew yang terlibat dalam penyelidikan itu.

Uvariopsis dicaprio adalah spesies terancam kritikal kerana ia tinggal di habitat hutan yang tidak dilindungi dan terdedah kepada bahaya termasuk pembalakan dan perlombongan.

Sumber & Kredit foto: CNN

Arfah