“Saja Mengingatkan Takut Makin Selesa” – Netizen Tegur Penampilan Isteri Haqiem Rusli

Kemeriahan konsert jelajah dunia kumpulan K-Pop ternama Blackpink masih lagi menjadi bualan warganet sehingga hari ini.

Malah, konsert ‘Born Pink’ yang diadakan di Stadium Bukit Jalil itu turut dihadiri oleh ramai selebriti tanah air, Sabtu lalu.

Terbaharu, isteri kepada penyanyi Haqiem Rusli, Anis Sofea turut berkongsi momen manis mereka pergi ke konsert itu bersama menerusi sebuah hantaran di Instagram.

“Born pink together,” tulisnya.

Melihat kemanisan pasangan itu, perkongsian tersebut telah meraih pujian dalam kalangan peminatnya menerusi ruangan komen.

Namun, terdapat netizen yang turut meluahkan rasa kurang senang apabila melihat penampilan Sofea yang tidak menggayakan tudung dengan sempurna ketika menghadiri konsert tersebut.

“Fea cantiknyaa 😍 kalau boleh gambar yang nampak telinga and leher tu cover lah sikit ea fea hehee 😅 saja mengingatkan takut fea makin selesa pakai macam tu lepas ni 🙁 harap tak lah ye insyaallahhh,” komen netizen.

Selain Haqiem dan Sofea, Mira Filzah, Nadiyah Shahab, Mimi Lana, Puteri Aishah, Azira Shafinaz dan Aisha Retno turut memeriahkan konsert kumpulan K-Pop ternama itu.

Fatin Nurain