Categories: HiburanTrending

Sasar Pasaran Antarabangsa, Filem JanGo Satukan Pelakon Melayu & Cina

Budaya Melayu dan Cina disatukan dalam sebuah karya baharu berjudul JanGo terbitan Zebra Studio dari Malaysia dan Times Multimedia Innovation Ltd yang berpangkalan di Hong Kong.

JanGo yang merupakan ringkasan untuk Jangan Goyang menggabungkan empat pelakon Melayu dan Cina sebagai pemain watak utama iaitu Khir Rahman, Joey Daud, Zhang Yaodong dan Chris Tong serta mendapat sentuhan CL Hor selaku sutradara.

Menurut pengasas dan Penerbit Eksekutif Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi, berkata idea menghasilkan filem JanGo dicetuskan dua pelakon utamanya, Khir dan Joey.

“Ketika penggambaran filem Gadis Jolobu The Movie berlangsung baru-baru ini, Khir dan Joey tampil dengan idea filem JanGo.

“JanGo adalah nama kumpulan Khir, Joey dan Vicha, mereka pernah diangkat sebagai juara dalam sebuah program realiti.

“Apa yang menariknya, kami satukan pelakon berbangsa Melayu dan Cina. Sepatutnya, kami perlu ke China terlebih dahulu disebabkan mempunyai pelabur dari China. Namun, kami belum sempat membuat kajian.

“Untuk JanGo 1.0, kami akan fokus di Malaysia dan penggambaran akan dijalankan di sekitar Lembah Klang, kemudian, Khir dan Joey akan terbang ke Shanghai, China menjalani penggambaran filem JanGo 2.0,” katanya.

Ujar Saraleana lagi, mereka juga gembira dapat menjalin kolaborasi dengan syarikat produksi Hong Kong.

“Projek ini menonjolkan campuran budaya dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Saya nak pelakon Malaysia diberi peluang mengetengahkan bakat ke luar negara terutama di Hong Kong dan China.

“JanGo dianggap suatu peluang untuk menarik penonton antarabangsa. Dengan pendekatan ini, ia membolehkan kita mencapai matlamat membawa karya dari Malaysia ke peringkat global,” katanya.

JanGo mengisahkan dua sahabat karib yang bekerja di ladang durian. Suatu hari, mereka membuat keputusan meninggalkan kampung halaman demi kehidupan lebih baik di kota.

Secara tidak sengaja, mereka ditawarkan dua ketua agensi perisikan untuk menjadi ejen rahsia dan melakukan misi ke China.

Padin