“Saya Ada Hak Untuk Memilih” – Sakan Main TikTok, Ramai Peminat Tanya Aeril Zafrel Dah Tukar Karier Ke?

Pelakon dan usahawan, Aeril Zafrel menjadikan platform media sosial seperti TikTok sebagai tempat untuk berkarya dan memberikan pandangan terhadap sesuatu isu yang berlaku di dalam mahupun luar negara.

Justeru itu, ramai dalam kalangan peminat berteka-teki adakah aktor itu sudah tidak memilih bidang lakonan kerana dilihat terlalu selesa menggunakan platform media sosial.

Tidak mahu isu ini terus dibangkitkan, Aeril bagaimanapaun berkata, aktif di platform media sosial tidak bermakna dia melupakan terus bidang lakonan cuma dia kurang aktif muncul di kaca televisyen kerana sibuk dengan perniagaan yang diusahakan dengan isterinya, Wawa Zainal.

“Buat masa ini, saya tidak akan berhenti dalam bidang lakonan. Tidak aktif pun sebab saya perlu lihat jalan ceritanya. Tahun ini sahaja saya cuma berlakon sekali je.

“Bukan nak kata saya bagus cuma saya ada hak untuk memilih. Lagipun saya ada rumah produksi sendiri jadi mana mungkin saya berhenti dari bidang lakonan,” katanya.

Sementara itu, Aeril turut menjelaskan kekerapannya muncul di media sosial hanyalah untuk tujuan perniagaan sahaja dan perlu diakui sebagai seorang usahawan, dia juga perlu mengikut trend agar tidak ketinggalan.

“Saya tidaklah aktif mana, cuma saya ada perniagaan dan sebab itulah saya perlu berkongsi kandungan mengikut trend terkini. Kalau ikut bahasa TikTok, FYP. Jadi saya perlu tahu apa yang trending, tak adalah syok sendiri,” jelasnya.

Aeril berkata demikian ketika ditemui pada acara VIU Upfront 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

 

Sumber: Gempak

Salma Syahbuddin