“Saya Dah Lama Tak Bekerja”- Tepis Dakwaan Berkecil Hati, Rusdi Ramli Akui Takut…

Pengarah dan pelakon, Rusdi Ramli dilihat sudah lama tidak muncul di kaca televisyen atau layar lebar dan dia mengakui tidak menerima tawaran berlakon atau pengarahan hampir empat bulan.

Jelasnya, dia sendiri berasa pelik dan tidak mengerti kenapa jadi begini malah dia turut memaklumkan bahawa rakan-rakannya yang lain turut bertanya hal yang sama.

“Saya sudah lama tidak bekerja. Saya pun agak pelik dan tidak faham kenapa. Bukan saya seorang sahaja… ada kawan hubungi saya yang bertanya perkara sama,” kata Rusdi.

Rusdi yang ditemui ketika majlis prapelancaran filem animasi Tun Teja itu memaklumkan kali terakhir dia berlakon adalah di bawah arahan Shuhaimi Lua.

“Kali terakhir saya berlakon di bawah arahan Shuhaimi Lua di mana working title adalah Budak Bawah Blok.

“Kali terakhir saya mengarah adalah menerusi drama Republik Gombak pada Ramadan lalu,” jelasnya.

Namun begitu, Rusdi yang merupakan anak kepada pelakon Norlia Ghani itu menepis dakwaan yang dikatakan berkecil hati ataupun merajuk dengan pihak tertentu malah dia menyatakan bahawa setiap pelakon mempunyai jangka masa tersendiri dalam industri.

“Setiap pelakon ada putaran masanya, saya fikir setiap pelakon akan melalui perkara sama.

“Tak kecil hati… tapi cuak tak ada kerja. Itu je lah, macam kecil hati tak ada pun,” ujarnya.

Turut ditanya adakah Rusdi mempunyai back-up seperti pelakon lain sepanjang tiada tawaran berlakon yang ditawar, Rusdi jelaskan bahawa dia hanya bergantung dengan kerjaya seni sahaja.

“Tak ada, itu masalahnya… sebab saya memang betul-betul ini (industri seni) sahaja.

“Diorang lahir di zaman itu, saya zaman old school yang tak ada benda-benda ini.

“Jadi, saya tak pandai sangat… itu masalah dia,” luahnya lagi.

Rusdi ditemui ketika menghadiri pada majlis prapelancaran filem animasi Tun Teja bagi menyaksikan isterinya, Sharon Paul yang berperanan sebagai penggubah skor muzik untuk karya pertama terbitan produksi NSA Studio.

Untuk info, filem animasi Tun Teja dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Fattah Amin, Datuk Rosyam Nor dan Datuk Hilal Azman.

Namun, NSA Studio tidak mengumumkan lagi selebriti yang memegang watak sebagai Tun Teja kerana akan dijadikan sebagai elemen kejutan untuk penonton.

Atiqah Johari