‘Saya Minta Maaf’- Nabil Ahmad

Pelakon, pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad memohon maaf susulan tindakannya mencampak tanjak dipakainya pada siaran langsung sebuah program komedi pada Jumaat lalu.

“Saya buat permohonan maaf bukan atas desakan sesiapa tetapi datang dari kesedaran diri sendiri.

“Kebetulan Tok Cindai menghubungi saya kerana hal ini dan dia memberi bantuan dalam cara menyelesaikannya,” kata Nabil ketika dihubungi XTRA hari ini.

Melalui satu rakaman video dimuat Nabil semalam, dia berkata sudah menghubungi pemilik akaun Facebook menggunakan nama Tok Cindai petang semalam dan individu itu sudah menegurnya secara baik dan memintanya membuat permohonan maaf secara terbuka semalam.

“Tidak menjadi niat saya untuk memperlekehkan bangsa dan adat Melayu kita, terutama sekali tanjak yang saya pakai.

“Saya sudah ditegur secara baik oleh Tok Cindai dan seluruh ahli keluarga Pengabdi Budaya, jadi saya memohon maaf dan ampun kepada semua yang terguris hati dan perasaan atas keterlanjuran saya.

“Saya harap permohonan maaf saya ini dapat diterima oleh semua. Insya Allah,” katanya.

Dia akui terkesan dengan cara teguran dan nasihat yang diberikan individu itu, malah terharu dan sedih apabila diperingatkan mengenai adat dan budaya dengan cara yang halus.

“Alhamdulillah, masih ramai yang sayang dan menjaga,” luah Nabil lagi.

Terdahulu, beberapa pengguna laman sosial menyelar tindakan Nabil mencampak tanjak dan kemudian mengutip dan memakainya secara terbalik dalam program komedi itu.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Fas