“Saya Perlukan Enam Bulan Untuk Sembuh Sepenuhnya” – Hun Haqeem

Pelakon Hun Haqeem terpaksa berehat selama enam bulan bagi memberi tumpuan kepada keadaan kakinya yang mengalami kecederaan ‘Anterior Cruciate Ligament’ (ACL), baru-baru ini.

Menurut laporan Harian Metro, Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy berkata dia akan mula bekerja semula pada tahun 2024 kerana ingin sembuh sepenuhnya.

“Buat masa sekarang, mungkin sehingga 2024, saya akan perlahankan sedikit kerja-kerja lakonan sebab nak beri masa untuk kaki saya sembuh sepenuhnya.

“Kalau mengikut nasihat doktor, saya perlukan tempoh matang enam bulan untuk sembuh. 2024 saya akan mulakan semula kerja-kerja lakonan.

“Saya perlu sembuh sepenuhnya dahulu kerana kalau boleh, sekiranya ada tawaran-tawaran karya bergenre aksi lagi selepas ini, tentunya saya nak berikan yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Hun turut bersyukur masih mampu untuk berjalan biarpun kecederaan tersebut sedikit sebanyak buat dirinya sakit ketika berjalan.

“Sedikit sebanyak, ACL ini membuatkan saya rasa sakit ketika berjalan. Tapi, alhamdulillah sebab saya masih boleh berjalan.

“Saya percaya, sebagai manusia, kita kena rehat juga. Sama juga kalau orang-orang yang bekerja di pejabat dan sebagainya, tentunya perlukan masa untuk rehat supaya dapat berikan hasil kerja yang lebih berkualiti,” katanya.

Berkongsi lebih, aktor berusia 25 tahun ini mengalami kecederaan tersebut ketika menjayakan babak aksi dalam drama bersiri terbaharu lakonannya.

Nak dijadikan cerita, ketika hari ke-40 penggambaran drama bersiri W: Two Worlds, kaki saya mengalami kecederaan ACL.

“Pada waktu itu, kami masih berbaki 23 hari lagi penggambaran dan itu menjadi satu ‘beban’ untuk saya. Tapi, nak buat macam mana sebab ia perkara yang berlaku di luar kawalan.

“Saya pergi melakukan pemeriksaan dan masih boleh teruskan penggambaran memandangkan saya masih ada komitmen. Mujurlah, ia tak jadi semakin teruk,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi