“Saya Tahu Akan Kelaut Dan Kena Kecam” – Sedar Kemampuan Diri, Wanna Ali Tolak Tawaran Nyanyi Secara ‘Live’

Pelakon dan penyanyi Wanna Ali mengakui dia tidak boleh menyanyi secara langsung di hadapan penonton.

Menurut Wanna atau nama sebenar Nor Syazwana Mohd Ali, dia juga akan menolak jika ada tawaran untuk membuat persembahan secara langsung mahupun program hiburan di televisyen.

“Secara jujurnya, saya sendiri sedar dengan tahap kemampuan diri sendiri.

“Memang saya tahu bila menyanyi secara ‘live’ akan ke laut dan kena kecam dengan netizen,” katanya semasa ditemui di sidang media drama bersiri Bukan Sekadar Lafaz di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini.

Disoal mengenai single duet bersama bapa tirinya iaitu penyanyi Aiman Ismail untuk drama Bukan Sekadar Lafaz, dia menerima tawaran lagu itu kerana ia runut bunyi untuk drama tersebut.

Selain itu, lagu Bukan Sekadar Lafaz adalah ciptaan ibunya sendiri iaitu penerbit drama, Datuk Ayu Puteh.

“Saya menyampaikan lagu duet ini kerana ia lagu runut bunyi drama Bukan Sekadar Lafaz dan proses rakaman juga di studio.

“Terus terang saya tidak boleh menyampaikan lagu itu lebih baik jika persembahan secara langsung.

“Saya juga tidak menghalang jika lagu itu dinyanyikan artis lain dalam pertandingan,” jelasnya.

Tambah Wanna lagi, dia mahu beri fokus kepada bidang lakonan terlebih dahulu berbanding karier nyanyian.

Drama Bukan Sekadar Lafaz, diinspirasikan oleh novel karya Sophilea. Drama terbitan Pencil Pictures & Records ini diarahkan oleh Idora Abdul Rahman dan penulisan skrip dihasilkan oleh Sophilea. Menggandingkan pelakon terkenal tanah air seperti Alif Satar, Wanna Ali, Yuna Rahim, Malek Mccrone, Ahmad Idham dan ramai lagi.
Drama Bukan Sekadar Lafaz disiarkan bermula 17 Oktober 2023, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pada pukul 7.00 malam di slot Akasia TV3 dan strim di iQIYI satu jam selepas siaran TV melalui www.iQ.com/local atau muat turun aplikasi iQIYI di App Store dan Play Store.
Maya Basir