“Saya Yakin Dengan Pilihan Saya” – Abby Abadi Turun Berkempen

Pelakon, Abby Abadi memberitahu dia akan turun berkempen bagi membantu sebuah parti politik sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menerusi hantaran di Instagram, Abby memuat naik sebuah video memaparkan dia dan anak-anaknya sedang merakam gambar bersama.

“Insya-Allah, jika Allah izinkan Mama akan ikut berkempen bermula hari ini.

“Tiada kepentingan apa-apa, cuma mengharapkan pengurusan negara yang lebih baik, demi masa depan anak-anak. Aminn,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Menurut Abby lagi, dia menyifatkan keadaan negara kini sangat sukar dan penting baginya untuk berkongsi tentang politik agar masyarakat lebih peka dengan urusan pentadbiran negara.

“Saya kongsikan agar ramai yang ambil tahu dan buka mata.

“Sebenarnya rakyat Malaysia ni banyak kategori, ramai yang nampak dan tak nampak apa yang berlaku dalam negara sendiri sebab sebahagian daripada kita memang tak pernah dan tak ambil tahu tentang politik sebab bukan urusan kami, katanya.

“Itu yang rugi! Sebab politik ini sebahagian dari Islam dan melibatkan urusan pentadbiran negara kita ya. Bila ramai yang tak peduli tak ambil tahu, itu yang senang-senang kena tipu,” ujarnya.

Menjengah ke ruang komen pula, Abby juga menjawab persoalan pengguna yang mencadangkan dia sepatutnya bergerak secara neutral kerana bergelar artis yang mempunyai ramai peminat dan perspektif.

“Hidup ini ada pilihan dan saya yakin dengan pilihan saya.

“Saya kongsi untuk orang buka mata. Tak nak tahu tak payah baca, senang je.

“Saya bekerja sendiri sekarang. Sekarang Allah bagi rezeki, jadi saya boleh buat pilihan sendiri tanpa takut pada siapa-siapa,” tegasnya.

Khairil Khusyairi