“Sebagai Suami Saya Kena Bahagiakan Isteri” – Haqiem Rusli Perjelas Isu Tonton Konsert Blackpink

“Takkanlah kita nak tunjuk kita pergi beribadah, benda tu hanya kita dan Allah yang tahu.”

Demikian kata penyanyi Haqiem Rusli selepas didakwa ‘over’ hadir ke konsert Born Pink’ Live In Kuala Lumpur yang diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 4 Mac lalu bersama isterinya, Anis Sofea.

Menurutnya, dia tidak kisah dikecam oleh peminat gara-gara hadir pada konsert berkenaan memandangkan isterinya amat meminati kumpulan K-Pop dari Korea Selatan itu.

Malah, tidak berkecil hati apabila ada yang tampil menegur tindakannya menyaksikan konsert tersebut  berbanding membawa isterinya itu hadir pada acara yang berbentuk keagamaan.

“Itu tanggapan orang, mereka ada pendapat mereka sendiri. Saya faham je bagi yang nak menegur. Tapi, fikir secara logik, kami di sana bukan sebagai boyfriend dan girlfriend kalau itu mungkin lah boleh dikecam, tapi kami di sana sebagai suami dan isteri.

“Saya datang tu sebab memang saya minat dengar lagu-lagu dia, tambah pulak Sofea memang sangat meminati Blackpink. So, why not kita sebagai suami kita support apa yang dia suka. Kalau itu kebahagian dia kita sokong.

“Saya sebagai seorang suami kena bahagiakan isteri, lagipun kami pergi just for fun,” katanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Tergantung Sepi ini menegaskan, soal hadir ke majlis keagamaan atau melakukan perkara bersesuaian dengan agama Islam adalah perkara yang tidak perlu digembar-gemburkan sekaligus berharap peminat dan orang di luar sana sentiasa berfikiran positif dan tidak mencari salah orang lain.

“Kat media sosial ni, mereka hanya nampak part berhibur sahaja, hiburan saja… benda-benda keagamaan takkanlah kita nak tunjuk. Elok kita diam-diamkan benda macam tu.

“Perkara sebegitu, biar hanya kita dan Allah sahaja yang tahu. Dan memang apa yang netizen nampak tu, mereka menilai dengan cara mereka. Kalau mereka fikir positif, maka positif lah jadinya. begitu juga sebaliknya,” jelasnya.

Terdahulu,  isteri kepada penyanyi Haqiem Rusli, Anis Sofea ada berkongsi momen manis mereka berdua pergi hadir pada  konsert berkenaan menerusi sebuah hantaran di Instagram miliknya.

 

 

Sumber: mStar

Salma Syahbuddin