Sebaris Erra, Uqasha, ‘Kak Limah’ Terkejut Jadi Calon ABPBH32

Pelakon senior Delimawati mengaku terkejut selepas namanya berjaya membolos senarai pencalonan top 5 bagi kategori pelakon filem wanita popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke 32.

Delimawati ketika ditemui media sebentar tadi memaklumkan pada awalnya dia hairan apabila menerima panggilan daripada pihak Berita Harian yang menjemputnya ke acara pengumuman senarai calon yang berlangsung di Hotel Tamu, Kuala Lumpur, hari ini.

“Melihat senarai calon seperti Erra Fazira dan Uqasha Senrose, macam tidak percaya nama saya turut tercalon.

“Syukur Alhamdulilllah di usia begini, nama saya masih kekal diingati malah mendapat undian peminat. Jujur saya terkejut,” akuinya yang tidak mempunyai kelab peminat.

Tambahnya yang cukup terkenal dengan watak Hantu Kak Limah dalam filem arahan Mamat Khalid, dia tidak meletakkan sasaran sebaliknya menyerahkan keputusan kepada pengundi.

“Alhamdulillah, saya anggap diri saya kira wakil dari pelakon veteran. Masih dipandang walaupun tawaran berlakon tidak serancak dulu.

“Namun saya tetap bersyukur masih ada pihak produksi yang memanggil saya untuk melakonkan watak bersesuaian dengan usia saya,” katanya syukur.

Sementara itu, pelakon berusia 61 tahun ini turut berterima kasih dengan pengarah terkenal Mamat Khalid yang banyak mempopularkan namanya sejak tersiar telefilem Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel pada 1998.

SGMS Fas