Betul-betul sederhana biarpun dirinya dikenali ramai! Penyanyi meningkat naik Ernie Zakri memaklumkan setiap tahun, persiapan baju rayanya hanya sehelai sahaja.

Kata penyanyi lagu Misteri ini, sehelai baju raya tidak mendatangkan masalah buat dirinya memandangkan dia tidak akan memakainya sepanjang hari.

“ Cukuplah sepasang baju raya. Saya selesa pakai baju kurung.

“ Saya sangat praktikal kerana pada sebelah tengah hari, lazimnya saya sudah menukar kepada baju biasa,” katanya.

Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri memaklumkan banyak busana yang dipakai untuk sesi fotografi dan program televisyen (TV) boleh digayakan sekali lagi.

Mengenai juadah kegemaran di pagi Syawal, Ernie sentiasa ternanti-nanti rendang daging masakan ibunya.

“Rendang daging sudah menjadi juadah wajib dan mama memasak ikut resepinya. Makan dengan nasi impit, sudah rasa ‘terangkat’.

“Saya lebih gemar juadah seumpama itu berbanding biskut atau kuih-muih yang selalunya dibeli saja,” katanya.

Dalam pada itu, Ernie memberitahu dia dan keluarga bakal meraikannya di rumah arwah nenek di Bangsar, lokasi biasa tempat seisi keluarga berkumpul.

“Hanya pada Syawal kedua, kami sekeluarga akan pulang ke Merlimau, Melaka. Sebelum itu, antara lokasi yang mesti dikunjungi adalah rumah Pak Zain (bapa penyanyi Ziana Zain dan adiknya, Anuar),” katanya yang teruja menyambut Syawal dengan sepupu seusianya.

Ernie berkata, sepanjang Syawal, dia terbabit dalam program raya seperti Melodi Raya, Muzik Muzik Raya, MeleTOP Raya dan konsert Raya RTM.

Tambah Ernie, dia akan mempromosikan single Misteri selepas cuti Aidilfitri.

SGMS Faida