“Selalu Rasa Diri Betul & Putar Belit Fakta” – Puteri Sarah Dedah Pernah Berdepan Individu Hidap Gangguan Personaliti

Pelakon jelita, Puteri Sarah Liyana berkongsi bahawa dia pernah berdepan dengan individu yang sentiasa tidak mahu menerima pendapat orang lain, sentiasa merasakan dirinya betul dan tidak memiliki empati dalam diri.

Memetik laporan Harian Metro, Sarah memaklumkan bahawa dia juga baru mengetahui mengenai individu yang memiliki personaliti narsistik (NPD).

Tambahnya, individu yang memiliki masalah gangguan personaliti ini tidak menyedari kerana kurang pengetahuan dan pendedahan terhadap isu tersebut.

“Sebenarnya mereka yang mempunyai penyakit NPD sudah lama cuma mungkin kita tidak menyedarinya kerana kurang pendedahan mengenai isu mental ini.

“Mereka yang mempunyai masalah NPD ini akan merasakan diri mereka saja yang betul dan memanipulasi fakta. Bagaimana kita hendak membela diri dengan mereka yang bersifat NPD ini, kita tidak akan menang.

“Bukan itu sahaja, mereka akan memutar belitkan keadaan sehingga membuatkan kesalahan mereka menjadi kesalahan kita pula.

“Akhirnya kita sendiri mempersoalkan sama ada kita yang bersalah kerana bersikap dan memberikan reaksi sedemikian,” ujar Sarah.

Katanya lagi, penghidap masalah personaliti ini boleh memberikan kesan negatif kepada kesihatan mental yang lebih serius jika tidak ditangani.

“Apabila personaliti ini tidak dikawal dan hingga memudaratkan rakan sekeliling, organisasi di tempat kerja, ia boleh berubah menjadi serius hingga membahayakan diri dan orang lain.

“Bagi orang dengan personaliti narsistik ini, mereka menganggap dirinya sahaja yang betul dan orang lain semua salah.

“Tingkah laku ditonjolkan sentiasa mudah untuk menyalahkan orang lain sebab dia ada spesifikasinya yang tersendiri,” tuturnya.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari